Bunga atau nama sebernarya Noor Ayu Fatini mula mencipta nama pada tahun 2019 setelah menjadi tular apabila mengenakan baju kurung dan berhijab sambal melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program 16 Baris anjuran Joe Flizzow.
Bunga memulakan kerjayanya sebagai penyanyi rap wanita dengan pelancaran single debutnya berjudul ‘Bunga’.
Bunga turut menghasilkan sebuah lagu duet bersama Amzar Sabri dari kumpulan duo Razqa berjudul ‘300 Saat’, yang sehingga kini telah mencapai lebih 1 juta tontonan di YouTube sejak mula dilancarkan pada 25 September 2020.
Bagi meneruskan lagi momentum kerjaya seninya, Bunga kini melancarkan single terbaharunya berjudul
“INTAN PAYUNG” yang menggandingkannya dengan Ratu Etnik Pop Malaysia, Noraniza Idris.
“INTAN PAYUNG” merupakan ciptaan bersama Bunga dan penerbit muzik, pencipta lagu dan penyanyi rap yang semakin meningkat naik, Luca Sickta yang sememangnya cukup dikenali di atas kecenderungannya mengangkat seni muzik Melayu dalam karya-karya popularnya, seperti ‘Gong Nekara’, ‘Zuhud’ dan ‘7 Nasihat’.
Susunan muzik
“INTAN PAYUNG” diberikan elemen muzik Gamelan. Lirik yang ditulis oleh Bunga ini menceritakan tentang peri pentingnya mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran menuju kejayaan.
"Diilhamkan oleh perjalanan saya sendiri dan orang sekeliling, saya berpegang kepada kata-kata bahawa kisah kejayaan yang terbaik selalunya bermula dengan kegagalan. Tidak ada manusia yang ditakdirkan dilahirkan hanya untuk mencapai kejayaan tanpa sebarang usaha. Semua orang kena berjuang dalam perjalanan ke puncak kejayaan. Untuk mencapai impian kita; usaha yang gagal, tersadung, terhalang, atau membuat perubahan arah yang radikal adalah kunci kepada kejayaan.
Kegagalan mendewasakan dan menjadikan kita lebih baik dari semalam serta lebih baik dalam apa yang kita lakukan. Dengan lagu ini, saya cuba mengatakan jangan putus asa apabila hidup tidak berjalan lancar. Belajarlah dari kegagalan kita dan teruskan perjalanan. Kejayaan semakin hampir, jadi jangan berputus asa! Saya harap lagu ini menjadi lagu kehidupan generasi saya yang masih mencari jalan untuk masa depan yang lebih baik, ” jelas Bunga makna di sebalik lagu ini.
Bercakap tentang bagaimana Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris terlibat dalam lagu ini, Bunga berkata dia amat teruja dan bertuah diberikan peluang ini.
"Saya sangat teruja dan merasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ani dalam "Intan Payung". Kehadirannya menyerikan lagi lagu ini dan menaikkan lagi nuansa Melayu lagu ini dengan gaya nyanyian tradisional Melayunya.”
“INTAN PAYUNG” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula
12 FEBRUARI 2021.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.