Selebriti terkenal, Neelofa dilaporkan telah menyumbang sebanyak 15 buah katil elektronik kepada Hospital Melaka bagi kegunaan pesakit COVID-19.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang petugas barisan hadapan Hospital Melaka, yang menzahirkan penghargaan kepada figura terkenal tanah air itu dalam sebuah hantaran di akaun Instagram.
Dr Abdul Rahman yang merupakan seorang doktor pakar perubatan kecemasan di Hospital Melaka memuat naik foto katil-katil tersebut buat tatapan umum.
Menurut hantaran beliau, kesemua katil yang diberikan usahawan terkenal Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor akan digunakan secara serta merta untuk untuk pesakit COVID-19 di bahagian zon kuning hospital berkenaan.
“Alhamdulillah…terima kasih tidak terhingga kepada Puan Neelofa atas sumbangan katil elektronik untuk kegunaan pesakit Covid di Hospital Melaka.
“Semoga Allah mengganjari amal jariah ini dengan pahala dan kebaikan di dunia dan akhirat,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran berkenaan serta turut menandai (tag) akaun rasmi Neelofa.
Merujuk kepada perbuatan mulia selebriti berkenaan, doktor tersebut turut memetik sebuah hadis pada ruangan kapsyen hantaran itu.
“Dari Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzalimi saudaranya dan tidak juga membiarkan dia dizalimi. Barangsiapa yang memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya.
“Barangsiapa yang menghilangkan musibah kesusahan yang perit dari seorang Muslim, maka Allah akan hilangkan juga darinya kesusahan dan keperitannya pada hari Kiamat.
“Barangsiapa yang menyembunyikan aib saudaranya maka Allah akan sembunyikan aibnya pada hari Kiamat -Hadis riwayat Bukhari dan Muslim,” tulisnya.
Selain itu, ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri dengan kata-kata positif serta doa buat Neelofa dan keluarga.
Pada 10 Jun, Melaka mencatatkan 184 kes baharu COVID-19 menjadikan angka keseluruhan berjumlah 14, 357 kes.
Sumber: Gempak / Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.