Polis menahan 13 lelaki di enam negeri berbeza pada Isnin, disyaki terlibat memiliki bahan pornografi dewasa serta penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa 13 individu berusia antara 20 hingga 74 tahun ditahan dalam Operasi Pedo Bersepadu yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Operasi serentak itu berlangsung sekitar jam 9 malam di 18 lokasi di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor, dan Terengganu.
Mereka yang ditahan katanya, bekerja sebagai pengurus akaun, pembantu kedai elektrik, pereka grafik, jurujual kejuruteraan, jurukimpal, jurukamera bebas, tukang jahit, pemandu e-hailing, operator di Singapura, pembantu kedai makan, pekebun, pekerja kedai ais manakala seorang lagi penganggur.
Beliau memberitahu, enam daripada mereka ditahan di Johor, Selangor (tiga individu) manakala masing-masing seorang di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, kita menemukan kira-kira 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi dewasa dalam peranti yang diperiksa.
"Kita turut merampas tujuh buah komputer, seunit komputer riba, telefon pintar (11 unit), modem (tujuh unit), router (sembilan unit) sementara masing-masing satu unit cakera video digital (DVD) dan cakera keras," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, dalam serbuan itu, PDRM dan SKMM memeriksa 18 individu yang disyaki melakukan kesalahan seksual dalam talian namun hanya 13 daripada mereka yang ditahan.
Menurutnya, daripada 18 premis yang diperiksa hanya 12 premis ditemui mengandungi kandungan bahan terlarang di dalam peranti yang diperiksa.
Serbuan itu katanya melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Bantuan Teknikal (D6) Bukit Aman serta kontinjen negeri berkenaan.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan CSAM, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.
Beliau memberitahu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Razarudin memberitahu, 11 daripada suspek itu direman antara satu dan empat hari manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan.
Sumber : Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.