Durian runtuh! Musim durian antara musim buah yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Tahukah anda ada lebih daripada 200 variasi durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Malaysia adalah negara penghasil durian terbanyak mengatasi Thailand dan Indonesia.
Jadi kalau anda adalah hantu durian, ini ada beberapa jenis durian paling popular di Malaysia yang korang kena tahu!
1. Musang King (D197)
Inilah durian yang memegang takhta sebagai raja buah di Malaysia selama bertahun-tahun. Durian premium ini berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan ia merupakan kegemaran import ke China, Amerika Syarikat, dan Australia, menjadikan harganya juga lebih mahal.
Tidak mahu ditipu, kena tahu bahawa durian asli Musang King mempunyai isi berwarna kuning keemasan dengan tekstur yang lembut dan berkrim. Isi durian ini juga lebih tebal, berkilat dan berbiji kecil berbanding durian lain.
Tips: Mempunyai bentuk lebih bujur seperti bola ragbi, kulit hijau muda, duri berbentuk seperti piramid kecil, bahagian bawah buah mempunyai corak garisan seakan-akan bintang yang ketara.
2. Tekka (D160)
Berasal dari Banting, Selangor, durian Tekka pada asalnya mempunyai banyak nama panggilan (Buluh Bawah, Chok Kiok dan Green Bamboo) sebelum ia dijenamakan semula sebagai Musang Queen.
Isinya berulas besar, tebal, dan berwarna krim kekuningan dengan biji bersaiz sederhana besar. Saiz buah ini juga sederhana besar dengan lingkungan berat 1.5 – 3 kg setiap biji, dan kulitnya yang nipis membuatkan ia mudah dikupas.
Tips: Saiz agak besar dan berbentuk lonjong (besar di atas, kuncup di bawah), menyerupai bentuk hati dengan lekuk pada pangsa.
3. Udang Merah (D175)
Berasal dari Balik Pulau, durian baka kahwin ini menghasilkan isi berulas halus, berwarna kuning jingga kemerahan dan setiap biji mempunyai lapisan krim yang sangat menyelerakan.
Durian ini juga ditanam di negeri Pahang dan Johor, tetapi rasanya tidak sama seperti Udang Merah Pulau Pinang yang asli. Kebiasaannya berkulit coklat perang, durian ini berbentuk bujur, berduri pendek, dan agak susah dikupas kerana berkulit tebal dan keras.
Tips: Kulit Udang Merah yang berwarna hijau keperangan dikatakan ditanam di luar Pulau Pinang. Untuk memilih Udang Merah yang terbaik, pastikan beratnya dalam 1 kg sebiji.
4. Sultan (D24)
D24 atau durian Sultan mudah untuk dikenalpasti dan ditemui. Ia berbentuk bulat, mempunyai duri yang lebih tirus dan tajam, dengan susunan duri-duri halus yang rapat di keliling tangkai. Di bahagian bawah buah ini terdapat bulatan berwarna coklat seperti serpihan dari bunga.
Berwarna kuning pucat, isinya mempunyai tekstur tebal dan lembut. Dengan harga berpatutan (dari RM19 per kg), ia juga selalu dihidang dalam bufet durian. D24 mampu memberi kepuasan setanding durian premium jika anda pandai memilih.
Tips: Kulit durian Sultan D24 berwarna hijau muda, nipis dan mudah dikupas. Biasanya, satu pangsa beris dua atau tiga ulas.
5. Black Thorn (D200)
Dikatakan jauh lebih enak daripada Musang King, durian premium dari Sungai Bakap, Pulau Pinang ini semakin menjadi buruan “hantu durian”. Bergantung kepada usia pokok tersebut, isinya yang lebih bulat berbanding durian lain juga mempunyai variasi warna berbeza, daripada jingga pastel seakan-akan merah jambu, hingga jingga terang.
Walaupun isi tidak setebal Musang King, keunikan rasa lemak manis Black Thorn yang menyelerakan pasti membuat setiap penggemar durian termimpi-mimpi! Sekarang, harga Black Thorn yang berkualiti bermula sekitar RM60 per kg dan boleh mencecah RM105 per kg.
Tips: Juga digelar Ochee, Duri Hitam atau Hei Tze, bentuk durian ini berbeza mengikut musim dan kawasan tanaman. Kebiasaannya, ia berbentuk bulat, bertapak rata, bertangkai kecil (kira-kira sebesar ibu jari), dan bahagian bawahnya mempunyai lingkaran hitam dengan titik kecil tanpa duri.
6. Golden Phoenix (D198)
Durian kegemaran ramai rakyat Singapura ini diberi nama kerana durinya yang nipis dan tajam dengan isi berwarna kuning pucat keputihan, menyerupai ciri-ciri burung lagenda Phoenix. Berasal dari Johor, durian klon berbentuk bulat dan kecil ini tumbuh dari pokok lama.
Juga dikenali dengan nama Kim Hong atau Jin Feng, raja buah ini sesuai untuk mereka yang sukakan rasa durian yang lebih pahit dari manis. Isinya tidak sepadat Musang King, berbiji kecil, dengan aroma yang tajam. Golden Phoenix banyak ditanam di Johor dan Pahang, dan agak sukar ditemui di negeri-negeri lain.
Tips: Di bawah buah ini mempunyai lima garisan seperti Musang King, tetapi kulitnya lebih nipis dan mudah dikupas. Di Durian Agro Hub Tangkak, anda boleh mencuba Golden Phoenix dengan rasa paling asli yang berbuah dari ibu pokoknya yang masih hidup sehingga hari ini.
7. Durian Kampung (888)
Durian paling OG ini terhasil dari pokok tunggal yang berusia ratusan tahun. Walaupun isinya agak padat, rasa durian kampung yang asli tidak konsisten sama sekali — ada yang pahit, ada yang manis. Senang cerita, ikut nasib.
Tips: Durian kampung Gred A mempunyai berat lebih dari 1.5 kg sebiji (RM15 – RM18 per kg), Gred B kurang 1 kg (RM 10 per kg), dan Gred C untuk membuat tempoyak (3 biji RM10).
Bonus: Durian Sukang
Ada di antara anda yang masih belum pernah melihat durian berwarna merah ini? Diberi nama saintifik durio graveolens yang bermaksud “durian busuk”, aroma Sukang dikatakan agak kuat dan tidak sesuai untuk mereka yang mementingkan bau daripada rasa.
Berasal dari Sabah, ramai yang menyangka saiznya sama dengan durian biasa kerana dibayangi duri yang panjang bercacak seperti landak, tetapi sebenarnya ia sangat kecil, malah ada yang hanya sebesar tapak tangan! Apabila dikupas, anda hanya boleh menikmati dua atau tiga ulas isi di dalamnya, dan sebab itulah durian Sukang biasa dijual dalam 4 – 6 biji seikat.
Tips: Lain dengan musim durian biasa, durian hutan eksotik ini berbuah dari Oktober hingga November. Kulit durian Sukang yang telah masak berwarna hijau kekuningan hingga ke kuning jingga, dan isinya berwarna jingga pekat hingga merah terang.
Sumber: Traveloka