Sebanyak empat unit tandas awam kucing di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan tular di media sosial sehingga mendapat respon positif daripada warganet.
Inisiatif ini diwujudkan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) untuk melestarikan suasana bersih di kawasan tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan dapur dan keperluan harian.
Menurut Yang Dipertua MDPM, Hazmi Abdul Hamid, beliau memaklumkan kebanyakan kucing-kucing terbiar di pasar tersebut dilihat sudah selesa menggunakan kemudahan tersebut.
“Malah kucing-kucing itu semakin berdisiplin dan sudah tahu kewujudan tandas berkenaan dan mereka juga tidak lagi membuang najis secara merata-rata sebagaimana sebelum ini," katanya.
Tambahnya, inisiatif ini telah diperkenalkan pada Februari lalu untuk kegunaan kucing-kucing terbiar di kawasan itu bagi mewujudkan persekitaran sihat dan bersih di kawasan pasar tersebut.
Malah, kira-kira 600 ekor kucing yang berada di kawasan tersebut sejak Januari 2021 hingga Selasa telah dikesan dan menggunakan tandas awam itu.
“Kesemua kucing-kucing ini adalah terbiar dan bagi memastikan pengudaraan berada dalam keadaan baik, MDPM akan menyelenggara tandas tersebut setiap hari dengan membuang najis-najis kucing ke lokasi sepatutnya.
“Selain itu kerja-kerja menggembur pasir dan rumput dilakukan setiap minggu bagi memastikan tandas awam kucing itu berfungsi dengan baik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.