Islam mementingkan penjagaan hak jiran sehingga malaikat Jibrail begitu kerap mengingkatkan baginda Nabi SAW mengenainya. Pencerobohan terhadap hak-hak jiran juga dikira sebagai suatu tanda ketidaksempurnaan iman seseorang.
Sehinggakan para sahabat ada yang beranggapan jiran juga akan mewarisi pusaka disebabkan banyak hadis yang mengingatkan akan hak-hak jiran. Contohnya hadis di bawah:
“Jibrail sentiasa berpesan kepadaku agar menjaga hak-hak jiran sehingga aku menyangka seorang jiran bakal mewarisi harta jirannya.” (HR. Bukhari & Muslim)
Bukan itu sahaja, sungguh besar ancaman kepada sesiapa yang membuatkan jirannya tidak tenang atau terganggu kerananya, seperti yang ditegaskan oleh Nabi SAW.
“Pada suatu hari Rasulullah SAW bersumpah sebanyak tiga kali yang bermaksud: Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman!
Apabila ditanya, siapakah yang baginda SAW maksudkan? Baginda SAW menjawab:
Seseorang yang jirannya tidak berasa aman dan tenang disebabkan perangai jahatnya.” (HR. al-Bukhari & Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan perangai jahat? Ini antaranya.
1. Membuang sampah
2. Meletakkan kenderaan di kawasan rumah jiran sehingga mengganggu laluan keluar masuk ke rumahnya
3. Membuat bising hingga mengganggu ketenteraman jiran.
4. Memelihara kucing juga boleh menyebabkan jiran terganggu seandainya anda membiarkan kucing peliharaan menjadikan halaman rumah jiran termasuk pasu-pasu jiran sebagai tempat membuang najis.
Benar, memelihara kucing adalah harus. Namun andai tuan pemilik kucing membiarkan kucing peliharaanya bebas keluar dan masuk ke rumah jiran tanpa izin sehingga menyebabkan jiran terganggu, itu juga adalah satu dosa.
Tidak salah nak memelihara kucing. Ia merupakan satu hobi atau minat yang sangat mulia. Tapi janganlah sampai abaikan tanggungjawab ke atas kucing peliharaannya itu.
Ingat tak kisah Abu Hurairah RA? Beliau bukan sahaja sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada baginda Nabi SAW malah beliau juga merupakan seorang yang sukakan kucing sehingga sering membawa anak-anak kucing itu bersama dengannya. Kadang-kadang beliau akan membawa anak kucing itu di dalam lengan baju jubahnya.
Sehinggakan gelaran “Abu Hurairah” itu sebenarnya diberikan oleh baginda nabi kepada beliau yang membawa maksud bapa kucing kerana gemarnya Abu Hurairah memelihara kucing.
Hal tersebut menunjukkan kebenaran dan pengakuan daripada baginda Nabi SAW bahawa memelihara kucing itu adalah harus. Namun, sepanjang Abu Hurairah RA memelihara kucing, tidak ada satu riwayat pun yang menyatakan beliau menyusahkan jirannya atau orang lain dengan hobinya yang suka memelihara kucing. Jika ada, sudah pasti kita akan mendengar hadis mengenainya.
Contohi hobi dan sifat Abu Hurairah RA itu dalam menunaikan hak-hak kucing sebagai haiwan peliharaan. Contohnya menjaga makan minum kucing, merawatnya andai sakit serta tidak menyakiti haiwan tersebut.
Yang paling utama, hak-hak jiran juga tidak dicerobohi oleh kucing peliharaan kita sendiri.
Sumber: TZKRH
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.