Kredit: Freepik
Apa yang bestnya jadi personal shopper ni? Dahlah kena bersesak-sesak, angkat barang berat dan banyak, terkejar-kejar masa hinggakan kadang kala terpaksa skip waktu makan dan pada masa sama perlu melayan 1,001 karenah pelanggan...
Jika dilihat pada sisi negatif, apa jua pekerjaan pun ada risiko dan cabaran yang terpaksa dilalui. Tetapi di sebalik kesusahan ni ada 1,001 kemanisan menanti. Kalau tidak, sudah tentu tidak ramai yang akan menceburi bidang pekerjaan ini secara sepenuh masa atau separuh masa. Betul tak?
Untuk anda yang baru berjinak-jinak sebagai personal shopper, atau yang berminat tetapi tidak tahu dari mana hendak bermula, ni kami kongsikan antara tip yang boleh anda gunakan untuk jana pendapatan tambahan. Paling penting, kenalah rajin berusaha dan tidak mudah putus asa.
#1 Minat
Nampak macam senang, sambil menyelam sambil minum air. Sambil bershopping untuk diri sendiri, cuci mata di butik mewah ketika pergi bercuti atau setakat pergi ke satu-satu lokasi dan beli barangan yang dipesan pelanggan. Waktu kerja pun fleksibel dan boleh dibuat secara separuh masa bagi menjana pendapatan tambahan.
Realitinya, personal shopper ini memegang amanah bagi menyempurnakan hajat dan keinginan pelanggan. Jadi, perlulah jujur dan dalam apa jua keadaan perlu mengutamakan pelanggan.
#2 Buat Kajian
Dalam erti kata lain perlulah melakukan kajian terperinci dan tahu dengan barangan yang ada di satu-satu tempat dan bakal dibeli serta produk hot yang sering mendapat permintaan tinggi. Kena bijak kenalpasti barangan asli atau palsu dan tahu kadar tukaran wang semasa.
Personal shopper juga kena tahu senarai tempat untuk mendapatkan barangan tadi. Jika tiada di butik A, di mana lagi boleh dicari... Bila dah yakin boleh dapatkan sesuatu produk tu, buat kajian perbandingan harga barangan tadi di Malaysia dan luar negara bagi memudahkan anda membuat perkiraan kos termasukan pengangkutan, kos kargo/bagasi dan penghantaran kepada pelanggan. Usah letakkan harga terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah sampai anda rugi.
#3 Pengiklanan Berkesan
Zaman sekarang ni memang senang nak iklankan servis yang ditawarkan. Hanya gunakan media sosial sebaiknya. Iklankan produk dan servis yang anda tawarkan di Facebook, Instagram dan website. Wujudkan akaun khas bagi memudahkan followers anda akses kepada post dan gambar yang anda iklankan. Selain kongsi gambar menarik berserta harga, anda juga boleh kongsikan tip, buat review, unboxing dan live video bagi menarik minat followers.
#4 Khidmat Pelanggan
Sudah namanya kita tawarkan servis, susah tentu perlu berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan yang ada kalanya menguji mental dan fizikal. Penting untuk anda kekal tenang, berhemah dan menjawab segala persoalan dengan pantas dan mesra. Kadang kala pelanggan belum tentu nak beli, tetapi disebabkan layanan baik personal shopper, mereka akan rekomen perkhidmatan kita pada sahabat dan saudara-mara.
#5 Kreatif & Tidak Bermusim
Untuk jadi personal shopper pilihan, anda bukan sahaja kena aktif di media sosial dengan kandungan kreatif dan menarik, tetapi anda juga perlu bijak mempelbagaikan servis yang ditawarkan. Jangan pula ada masa timbul, ada masa tenggelam... Risau pelanggan lari.
Untuk anda yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini, lepas baca tip ni boleh mulakan dengan skala tempatan terlebih dahulu. Cari kedai, barang popular atau yang tengah in di Malaysia, dan tawarkan perkhidmatan anda untuk mendapatkan barangan tersebut dengan cas tertentu yang munasabah. Anda boleh letakkan deposit atau pre-order terlebih dahulu, bagi memudahkan anda menganggar berat dan kos tambahan serta bagi mengelakkan ditipu.
Kredit: Freepik
Dan setiap kali anda keluar bercuti, tawarkan perkhidmatan mendapatkan barangan popular di tempat tu contohnya coklat di Pulau Langkawi, ikan bilis di Pulau Pangkor, barangan mutiara di Sabah dan kain pasang di Bandung Indonesia. Siapa tahu dari pekerjaan suka-suka boleh jadi sumber pendapatan utama.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.