Jihad dalam bahasa Arab ialah kata nama terbitan daripada ‘jaahada’ (جاهد) yang bermaksud berusaha gigih untuk mencapai sesuatu matlamat.
Makna jihad melalui lensa ibadah di bulan Ramadan adalah khususnya bagi jihad melawan nafsu.
Tetapi melalui penjelasan Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah terdapat dua jenis jihad di bulan Ramadan, iaitu jihad di pagi hari dan jihad di waktu malam.
“Ketahuilah bahawa seorang mukmin melakukan dua jihad di bulan Ramadan. Jihad pertama adalah jihad pada diri sendiri di siang hari dengan berpuasa. Sedangkan jihad kedua adalah jihad di malam hari dengan solat malam.
Siapa yang melakukan dua jihad dan menunaikan hak-hak berkaitan dengan keduanya, lalu terus bersabar melakukannya, maka ia akan diberi ganjaran di sisi Allah dengan pahala tanpa batas (tak terhingga)."
Kata-kata di atas telah beliau sebutkan dalam kitab Lathoiful Ma’arif.
Puasa adalah ibadah bersifat luaran dan dalaman
Puasa adalah ibadah yang bersifat luaran dan dalaman, bukan hanya perut yang perlu berpuasa namun hati juga perlu berpuasa.
Hati yang berpuasa akan sentiasa muhasabah diri dan akan menjauhkan dirinya daripada melakukan sebarang perkara yang dilarang.
Bersungguh-sungguh tunaikan solat malam
Jihad kedua pula iaitu solat malam adalah jihad yang perlu dilakukan bagi lebih menyempurnakan amalan puasa pada siang hari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. Riwayat Al- Bukhari (no. 36 dan 1870)
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.