Kemunculan seekor buaya di pesisir pantai Paka, berhampiran muara Kuala Paka di sini mencetuskan panik dalam kalangan penduduk dan pengunjung.

Foto Tangkap Layar
Kehadiran sang bedal itu sempat dirakam individu yang kebetulan berada di sekitar kawasan tersebut sebelum memuat naik video di media sosial pada Rabu.
Berdasarkan video berdurasi 30 saat, reptilia tersebut dilihat bersantai di pasir berdekatan benteng pemecah ombak sebelum berenang perlahan-lahan ke laut.
Seorang penduduk, Nur Izzati Alias, 36, berkata kehadiran buaya di sekitar kawasan itu pernah berlaku sebelum ini apabila seekor buaya dilihat berkeliaran di lokasi sama.
“Sebelum ini, ada juga penduduk nampak buaya berkeliaran di sini. Bimbang kalau ada yang tak sedar ada buaya sebab kawasan ini selalu jadi tumpuan orang beriadah,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kita ada terima laporan mengenai penemuan buaya dan kini giat melakukan pemantauan di kawasan tersebut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.