Foto: Bernama
Artifak bersejarah Bunga Emas Kelantan buat julung kalinya dipamerkan kepada orang ramai sempena Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan yang berlangsung di Istana Balai Besar bermula hari ini hingga 14 September.
Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail, berkata pameran itu dijangka menarik perhatian pengunjung kerana Bunga Emas tidak pernah didedahkan secara terbuka sebelum ini.
“Pengunjung bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri Bunga Emas Kelantan yang asli, warisan Kesultanan Kelantan. Ini adalah kali pertama ia dipamerkan untuk tatapan umum,” katanya ketika ditemui Bernama.
Selain Bunga Emas, festival itu turut menampilkan Perahu Diraja Kelantan, Petala Indera Sri Kelantan yang dibina pada 1899 dan pernah digunakan oleh Sultan Muhammad IV.
Menurut Mohamed Safaruddin yang juga penyelaras festival, pelbagai pameran tekstil tradisional seperti tenun, songket, kain pelangi dan kain telepuk turut dipamerkan, di samping koleksi keris warisan Melayu Kelantan dan nusantara, barangan tembaga serta demonstrasi membuat jebak puyuh, ukiran barang kemas, kain kelingkam dan telepuk.
Festival yang memasuki edisi kedua ini menyasarkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri. Ia dibuka percuma setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam.
“Selain melihat pameran, pengunjung juga berpeluang memasuki kawasan Istana Balai Besar yang biasanya tidak dibuka kepada umum kecuali untuk acara tertentu,” tambahnya.
Festival tahun lalu memberi fokus kepada pameran keris dan senjata warisan, manakala penganjuran kali ini menekankan kepada keindahan tekstil dan warisan Kesultanan Kelantan.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.