Foto sekadar hiasan
Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan keadaan angin kencang dan laut bergelora dijangka melanda beberapa kawasan perairan negara dalam tempoh terdekat, dengan amaran berkuat kuasa sehingga 21 Februari.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasmi jabatan itu, fenomena ini berlaku susulan luruan angin monsun yang memasuki rantau Malaysia, sekali gus meningkatkan kelembapan atmosfera dan menyebabkan cuaca menjadi lebih tidak menentu.
Keadaan tersebut berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan serta ribut petir khususnya di Sabah dan Sarawak antara 19 hingga 23 Februari. Dalam masa sama, kawasan perairan Laut China Selatan dijangka mengalami tiupan angin kuat dan ombak tinggi yang boleh membahayakan aktiviti di laut.
Sehubungan itu, amaran angin kencang dan laut bergelora telah dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan bermula 18 hingga 21 Februari sebagai langkah kesiapsiagaan.
Orang ramai terutama nelayan, pengusaha bot serta mereka yang merancang aktiviti riadah di pesisir pantai dinasihatkan supaya menangguhkan perancangan dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko.
Sebarang perkembangan terkini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi METMalaysia, platform media sosial jabatan berkenaan serta aplikasi myCuaca bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan sahih.
Sumber: Facebook MET Malaysia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.