
Foto: Syafiq Shahrom
Nama Malaysia sekali lagi harum di persada dunia, kali ini melalui warisan kulinari yang tiada tandingan. Dikenali dengan keunikan rasa, kekayaan rempah ratus dan kepelbagaian budaya, makanan tempatan Malaysia sememangnya tiada tolok bandingan. Setiap suapan bukan sahaja memikat selera, malah membawa bersama kisah dan sejarah bangsa.
Dari utara hingga selatan, timur ke barat, setiap negeri menawarkan hidangan tradisi yang penuh identiti. Daripada aroma wangi Nasi Dagang Terengganu, keenakan Laksa Penang, sehinggalah ke kepedasan Sambal Tempoyak Perak. Hidangan-hidangan ini bukan sahaja memikat rakyat tempatan, bahkan terus mencuri tumpuan penggemar makanan antarabangsa.
Terbaharu, pasukan kulinari Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya membawa pulang Pingat Emas dalam pertandingan berprestij National Culinary Cuisine Challenge 2025 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Foto: Syafiq Shahrom
Lebih membanggakan, hidangan dari Malaysia turut diangkat sebagai ‘The Best National Cuisine in the World’, mengalahkan peserta-peserta hebat dari serata dunia.
Pasukan kebanggaan negara, Malaysia Culinary Team Dubai, memukau juri dengan deretan hidangan warisan seperti Nasi Kerabu, Rendang Ayam, Cendol, Kuih Keria dan Udang Sambal setiap satu disediakan dengan penuh seni dan rasa asli yang mencerminkan jati diri Malaysia.

Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian dalam bidang masakan, tetapi juga simbol penghargaan kepada budaya dan tradisi yang telah diwarisi turun-temurun. Ia menjadi bukti nyata bahawa masakan Malaysia bukan sahaja mampu bersaing di peringkat antarabangsa, malah berdiri megah sebagai antara yang terbaik di dunia.
Sumber: Syafiq Shahrom / Malaysia Culinary Team Dubai
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.