Mohd Nor Firdaus, penduduk Kampung Kuala Belara, Manir bertuah dapat melihat kalimah Allah terbentuk di awan ketika menjalankan tugas di Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam.
"Berasa sangat bertuah kerana dipilih untuk melihat kalimah di langit dan saya terus berdoa," katanya
Kalimah Allah yang jelas terbentuk di awan kira-kira 3 pagi itu menjadi tular di media sosial sehingga ada yang mengaitkan peristiwa itu dengan malam lailatul qadar yang berlaku sekali pada Ramadan.
Pemuda berusia 34 tahun itu sedang menjalankan rondaan di pasar berkenaan sebelum melihat awan yang berbentuk kalimah di langit.
"Ketika itu tidak ramai lagi pengunjung di pasar itu dan kejadian itu berlaku sangat singkat sehingga tidak semua orang sempat merakam gambarnya.
"Hanya kurang lima minit awan itu terbentuk kalimah sebelum ia dibawa angin dan tidak lagi berbentuk kalimah.
"Pengalaman yang sangat bermakna kepada saya sepanjang menyambut Ramadan, melihat kebesaran Allah melalui kalimah itu menyebabkan tangan menadah ke langit dan berdoa," katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak berani untuk mengaitkan kejadian itu dengan malam lailatul qadar.
"Memang kalimah itu dilihat pada malam Jumaat dan pada Ramadan tetapi ia tidak berlaku pada 10 akhir Ramadan.
"Bagaimanapun kejadian itu tetap memberi keinsafan dan ingatan kepada saya terhadap kebesaran Allah SWT," katanya.
Ketika kejadian, dia meminta rakan setugasnya merakam gambar kalimah itu di awan dan berkongsi di akaun media sosial miliknya.
"Telefon rakan saya lebih canggih oleh itu imej kalimah itu nampak lebih jelas di langit apabila dirakam menggunakan telefon bimbitnya," ujarnya.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.