
Foto sekadar hiasan
Malaysia kini berdepan trend penurunan kadar kelahiran yang semakin ketara, namun Kelantan kekal sebagai antara negeri yang mencatatkan kadar kesuburan melebihi paras penggantian penduduk.
Dalam tempoh Januari hingga Mac 2025, hanya 93,500 bayi dilahirkan di seluruh negara, berkurang sebanyak 11.5 peratus berbanding suku pertama tahun sebelumnya.
Daripada keseluruhan negara, hanya tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang mencatat kadar kesuburan melebihi 2.1 anak bagi setiap wanita. Kelantan mencatatkan purata 2.7 anak, menunjukkan rakyat di negeri itu masih mengekalkan kadar kelahiran yang stabil.
Sebaliknya, negeri seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mencatat kadar kelahiran paling rendah, iaitu hanya 1.2 anak setiap wanita. Sabah yang sebelum ini antara negeri dengan kadar kesuburan tertinggi, turut mencatat penurunan kepada 1.4 anak.
Menurut Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, kadar kesuburan etnik Cina adalah yang paling rendah iaitu 0.8 anak bagi setiap wanita. Hanya kelompok Melayu yang masih mengekalkan kadar penggantian penduduk.
Sepanjang tempoh tiga bulan pertama 2025, dianggarkan satu bayi dilahirkan setiap minit. Daripada jumlah itu, sebanyak 48,124 bayi lelaki dan 45,376 bayi perempuan dilahirkan, menjadikan nisbah jantina 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Manakala, Selangor kekal sebagai negeri dengan jumlah kelahiran tertinggi iaitu 18,254 bayi manakala Labuan mencatat jumlah terendah dengan hanya 278 kelahiran.
Sebahagian besar kelahiran direkodkan dalam kalangan wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun iaitu 53.3 peratus. Kumpulan umur 20 hingga 29 tahun pula menyumbang 39.3 peratus.
Dalam pada itu, hanya 6 peratus kelahiran dicatatkan dalam kalangan ibu berusia 40 tahun ke atas, manakala ibu di bawah umur 20 tahun menyumbang 1.4 peratus. Tiga kelahiran turut direkodkan daripada wanita berumur 55 tahun ke atas.
Dari segi etnik, kelahiran dalam kalangan Melayu meningkat kepada 68.8 peratus, diikuti Bumiputera lain 12.6 peratus. Kelahiran etnik Cina menurun kepada 8.6 peratus manakala etnik India mencatat 3.8 peratus.
Purata saiz isi rumah rakyat Malaysia kini semakin kecil iaitu 3.7 orang berbanding 5.5 orang pada tahun 1970. Perlis mencatatkan saiz isi rumah paling kecil dengan purata 3.1 orang, manakala Kelantan kekal sebagai negeri dengan saiz isi rumah tertinggi iaitu 4.8 orang.
Dalam tempoh yang sama, jumlah kematian turut mencatatkan penurunan. Sebanyak 48,130 kematian direkodkan dari Januari hingga Mac 2025, sedikit rendah berbanding 49,117 kes pada tahun sebelumnya. Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 7,710 kes, manakala Putrajaya mencatatkan jumlah paling rendah iaitu 84 kematian.
Sumber: The Rakyat Post
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.