
Foto Hiasan
Pernah tak jadi situasi macam ni? Anda tengah lepak minum dengan kawan-kawan di mamak atau duduk santai di taman. Tiba-tiba, anda sorang je yang tergaru-garu, tepuk sana sini macam orang tengah bersilat.
Kawan sebelah? Relaks dan berborak macam biasa, seekor nyamuk pun tak sudi hinggap. Masa tu mesti ada yang menyampuk:
“Kau ni darah manis kot. Sebab tu nyamuk suka.”
Tapi betul ke, sekadar mitos orang lama atau memang ada asas sains? Jawapannya adalah ia bukan mitos tetapi memang fakta!
Kajian saintifik mendapati kira-kira 20% penduduk dunia memang tergolong dalam kategori ‘magnet nyamuk’. Maksudnya, tanpa buat apa-apa pun, nyamuk memang lebih suka anda berbanding orang lain.
Jom semak senarai sebab kenapa anda terpilih:
Jenis Darah Anda (Geng Type O, Sila Angkat Tangan)
Ini fakta paling popular dan paling pedih untuk diterima. Kajian menunjukkan bahawa nyamuk paling tertarik kepada darah jenis O, maka mereka akan hinggap pada orang berdarah O hampir 2 KALI GANDA lebih kerap berbanding darah jenis A. Bagaimana dengan Kumpulan Darah jenis B? Tengah-tengah.
Yang menariknya, nyamuk tak perlu gigit dulu untuk tahu darah anda kerana mereka boleh hidu jenis darah melalui rembesan kimia pada kulit.
Kilang Karbon Dioksida (CO₂ Bergerak)
Nyamuk ada ‘radar’ semula jadi yang boleh kesan karbon dioksida (CO₂) dari jarak sehingga 50 meter. Siapa yang keluarkan CO₂ lebih banyak?
- Orang yang bernafas laju (lepas bersukan)
- Orang bersaiz badan besar (metabolisme tinggi)
- Wanita mengandung yang menghembuskan 21% lebih banyak CO₂
Bau ‘Masam’ Yang Nyamuk Cinta (Asid Laktik)
Nyamuk sebenarnya suka bau peluh, tapi bukan sebarang peluh. Mereka tertarik dengan bau asid laktik, asid urik dan ammonia. Bahan-bahan ini keluar melalui liang roma apabila badan panas dan berpeluh. Sewaktu anda berpeluh, komposisi bau badan anda lebih ‘sedap’ bagi nyamuk.
Warna Baju Anda (Hitam Tu Nampak Sedap)
Nyamuk bukan guna hidu je. Mereka juga guna penglihatan. Warna yang paling menarik perhatian nyamuk ialah hitam, biru gelap dan merah. Manakala warna yang kurang menarik ialah putih, kuning dan warna-warna cerah.
Jadi kalau anda Kumpulan darah O, berbadan panas dan selalu pakai baju hitam, tahniah. Andalah yang kumpulan nyamuk idamkan!
Tips Ringkas Untuk Elak Daripada Jadi Magnet Nyamuk:

Foto Hiasan
- Elakkan pakai baju gelap waktu senja
- Pakai pakaian longgar & cerah
- Gunakan repellent nyamuk
- Kurangkan aktiviti berpeluh di luar sewaktu maghrib
Sumber: Public Health Malaysia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.