Lima individu, termasuk seorang kerabat diraja Pahang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki pada Jun lalu.
Kelima-lima tertuduh, Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39; Mohd Fouzi Md Nur, 44; Mohd Taufik Daud, 32; Khairul Azhar Rosli, 38; dan Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20; membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Menurut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa dengan sengaja mencederakan Alias Awang, 44, di bahagian peha kanan menggunakan sebilah pisau.
Kejadian didakwa berlaku pada 6 Jun 2024 sekitar jam 12.20 pagi di sebuah bangsal kuda di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.
Kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwa Negeri, Sharizat Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam diketuai Y.Sheelan Samuagam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan, mendakwa diserang sekumpulan individu termasuk seorang kerabat Diraja Pahang.
Akibat serangan itu, mangsa mendakwa cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Susulan kejadian itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan polis menjalankan siasatan segera, telus dan adil, berhubung dakwaan membabitkan kerabat itu.
Baginda mahu polis menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak termasuk membabitkan kerabat Pahang agar keadilan dapat ditegakkan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember 2024.
Sumber Astro Awani/Buletin TV3
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.