Foto: Bernama
Kerajaan kini dalam proses merangka dasar baharu bagi mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan atau penhad kelajuan pada semua kenderaan berat seperti lori dan bas. Langkah ini diambil susulan kebimbangan terhadap kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat yang sering mengorbankan nyawa serta menyebabkan kecederaan serius.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata dasar tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dan mengurangkan insiden nahas membabitkan kenderaan berat yang bergerak laju tanpa kawalan.
Menurut beliau, kementeriannya kini sedang meneliti aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan agar ia tidak hanya berkesan di atas kertas tetapi benar benar dilaksanakan di lapangan.
Antara perkara yang sedang dikaji adalah bagaimana untuk memastikan alat penhad kelajuan ini tidak dimatikan atau diubah selepas dipasang. Ini kerana terdapat laporan bahawa sesetengah pemandu atau pemilik kenderaan berat memanipulasi sistem berkenaan selepas pemeriksaan di pusat pemeriksaan teknikal.
“Pemeriksaan teknikal hanya dilakukan setahun sekali, jadi kita mahu dasar ini benar benar berkesan dan pemantauan secara konsisten perlu dilaksanakan,” katanya.
Isu berkenaan timbul selepas kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang meragut 15 nyawa termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Bas yang membawa rombongan pelajar itu dikatakan terbabas dan bertembung dengan kenderaan pelbagai guna dalam satu kemalangan pada 9 Jun lalu.
Kejadian tragis itu turut mencederakan puluhan yang lain dan menimbulkan semula kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan pengangkutan awam.
Bagi memastikan pelaksanaan lebih menyeluruh, kerajaan juga bercadang untuk mewajibkan pemasangan sistem kamera papan pemuka bagi kenderaan berat. Selain itu, peraturan penggunaan tali pinggang keselamatan dalam bas akan diperketat termasuk cadangan penggunaan sistem pengesan yang tidak membenarkan kenderaan bergerak sekiranya penumpang tidak memakai tali pinggang.
“Semua ini adalah langkah tambahan ke arah menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Kenderaan berat tidak sepatutnya dibiarkan memecut tanpa had, dan kita perlu ada sistem yang mengawal tingkah laku pemanduan mereka,” jelas Anthony Loke lagi.
Sebelum ini, terdapat garis panduan yang mewajibkan penhad kelajuan pada bas dan lori melebihi 7.5 tan. Namun, penguatkuasaan tidak menyeluruh menyebabkan wujudnya ruang untuk manipulasi. Dasar baharu ini akan memastikan alat tersebut kekal berfungsi setiap masa dan bukannya sekadar syarat lulus pemeriksaan tahunan sahaja.
Kerajaan berharap melalui langkah proaktif ini, kemalangan membabitkan kenderaan berat dapat dikurangkan dan keselamatan awam di jalan raya dapat ditingkatkan dengan lebih ketara.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.