Foto: Facebook
Kerajaan Negeri Kelantan menasihatkan rakyat negeri itu serta rakyat Malaysia secara umum agar menangguhkan rancangan melancong ke Thailand dan Kemboja susulan konflik ketenteraan yang sedang memuncak di kawasan sempadan kedua-dua negara tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata meskipun tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut setakat ini, pihaknya menekankan keperluan untuk mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan situasi keselamatan masih belum stabil sepenuhnya.
"Setakat ini saya belum menerima sebarang laporan yang menyatakan rakyat kita terlibat secara langsung dalam konflik ini. Namun begitu, kita berdoa agar tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam ketegangan yang berlaku di sempadan Thailand dan Kemboja.
"Sebagai langkah keselamatan, saya menasihatkan rakyat Kelantan dan juga rakyat Malaysia untuk menangguhkan sementara hasrat mengunjungi kawasan utara Thailand atau Kemboja sehingga keadaan kembali reda," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Penutupan Festival Kebudayaan Rakyat Kelantan (FKRK) 2025 di Pantai Irama, Bachok, pada Sabtu.
Konflik yang tercetus sejak Khamis lalu itu menyaksikan ketegangan yang telah berlarutan selama beberapa bulan akhirnya memuncak menjadi pertempuran bersenjata berskala penuh di sempadan Thailand dan Kemboja. Insiden itu kini disifatkan sebagai krisis ketenteraan paling dahsyat antara kedua-dua negara sejak tahun 2011.
Thailand dilaporkan telah mengerahkan jet pejuang F-16, artileri berat, kereta kebal dan melancarkan serangan darat yang agresif sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Kemboja. Pergolakan ini telah memaksa lebih 100,000 penduduk dari empat wilayah sempadan di Thailand dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Pertempuran yang kini memasuki hari ketiga telah mengorbankan 33 nyawa, termasuk 13 kematian yang disahkan oleh Kementerian Pertahanan Kemboja, terdiri daripada lapan orang awam dan lima anggota tentera, selain 71 yang lain mengalami kecederaan.
Ekoran peningkatan mendadak dalam korban jiwa, kerajaan Phnom Penh telah menggesa gencatan senjata segera bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar. Ketegangan ini berpunca daripada sengketa lama berkaitan sempadan, terutamanya melibatkan kawasan berhampiran Preah Vihear, sebuah wilayah yang sering menjadi punca pertikaian.
Mengulas lanjut, Datuk Kamaruddin menyatakan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia, khususnya dari Kelantan, yang sering memasuki Kemboja melalui Thailand dengan menaiki kenderaan persendirian, memandangkan keadaan di sempadan amat tidak menentu.
"Kita tahu masih ada rakyat kita yang masuk ke Kemboja melalui jalan darat dari Thailand. Kita bimbang dengan keadaan sekarang walaupun ada usaha sedang dilakukan oleh pihak antarabangsa untuk membawa kedua-dua negara ke meja rundingan.
“Namun, dalam keadaan tegang begini, apa-apa konflik bersenjata hanya membawa kerugian dan tidak menguntungkan mana-mana pihak," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan agar rakyat lebih mengutamakan destinasi pelancongan dalam negara, memandangkan banyak tempat menarik termasuk di Kelantan yang boleh diterokai dengan selamat.
"Lebih baik tumpukan pelancongan dalam negara. Kelantan sendiri pun sudah menerima lebih 10 juta pelawat domestik pada tahun lalu, hasil daripada kempen Tahun Melawat Kelantan 2024 yang mendapat sambutan amat menggalakkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada konflik tersebut dijangka memberi kesan terhadap bekalan makanan atau hubungan dagangan dua hala, beliau menjelaskan bahawa setakat ini belum terdapat sebarang petunjuk jelas yang menunjukkan gangguan bekalan atau urusan perdagangan antara Malaysia dengan Thailand dan Kemboja.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.