Foto sekadar hiasan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan sempena sambutan Aidilfitri.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata kemasukan ini melibatkan tiga laluan utama ke Kelantan iaitu Pasir Puteh, Gua Musang, dan Jeli.
Beliau berkata, trafik dijangka sesak di semua laluan mulai 28 Mac memandangkan ramai yang telah mula bercuti.
"Pada Aidilfitri kali ini, kita menjangka dua juta kenderaan perantau akan memasuki Kelantan tidak lama lagi. Fenomena kemasukan kenderaan dalam jumlah besar ini memang biasa berlaku setiap kali menjelang Aidilfitri," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam masa yang sama, sebanyak 187 pegawai dan anggota penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi tertentu bagi memantau trafik sempena Ops Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, JPJ Terengganu pula menjangkakan sekitar 70,000 hingga 80,000 kenderaan akan memasuki negeri itu untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion, berkata peningkatan trafik dijangka bermula pada 28 Mac dan mencapai puncaknya pada 29 dan 30 Mac, menjelang sambutan perayaan.
"Pada masa tersebut, kesesakan dijangka berlaku terutamanya di lebuh raya utama dan jalan persekutuan. Selepas perayaan, kesesakan dijangka teruk pada 5 dan 6 April apabila perantau mula pulang ke ibu kota dan negeri-negeri lain," katanya.
Foto sekadar hiasan
Beliau juga memberitahu bahawa JPJ akan melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh tersebut, termasuk rondaan berterusan selama 16 jam sehari yang akan dipanjangkan kepada 24 jam pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April.
"Anggota JPJ juga akan ditempatkan di lokasi strategik untuk memantau trafik, membantu menyuraikan kesesakan, dan memberikan bantuan kecemasan. Pemantauan di kawasan berisiko tinggi atau 'blackspot' juga akan dilakukan untuk mengesan pemandu yang melanggar peraturan," tambahnya.
Beliau juga menasihati perantau agar merancang perjalanan dengan baik, mengutamakan keselamatan, serta mengelakkan memandu dalam keadaan letih atau mengantuk.
"Pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan elakkan memandu secara agresif. Semua pengguna jalan raya juga diminta untuk mematuhi peraturan dan mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan diri serta pengguna lain," katanya.
"Keselamatan di jalan raya bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi bermula dengan sikap setiap pemandu," tambah beliau.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.