Mayat Ami Azzizol Abu Bakri, 22, seorang mangsa lemas yang berenang di Sungai Petuang, Tasik Kenyir, Sabtu lepas ditemui terapung di tengah tasik pada pukul 7.10 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa mayat mangsa ditemukan oleh seorang pengusaha chalet rumah rakit pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dikatakan lemas.
"Pengusaha chalet rumah rakit tersebut bertindak memaklumkan penemuan mangsa kepada pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meronda di kawasan berhampiran sebelum mayat mangsa dikeluarkan (dari tasik) oleh pihak bomba," katanya.
Mohd Adli berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Pada Sabtu lepas sekitar jam 5.50 petang, mangsa yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan seminggu lalu dikatakan telah mengalami kekejangan otot ketika berenang di Sungai Petuang, Jeram Harimau.
Kejadian itu turut disaksikan isteri, sepupu dan anak pemilik rumah rakit yang disewa mereka sekeluarga.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.