Tiga selebriti yang dikaitkan dengan sindiket syarikat perunding kewangan tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.
Bagaimanapun kelibat mereka gagal dikesan oleh pihak media yang menanti di pintu utama SPRM.
Menurut sumber, tiga selebriti itu terdiri daripada Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Roziana Zain yang lebih dikenali Ziana Zin dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Difahamkan kenderaan yang membawa ketiga-tiga selebriti berkenaan memasuki bangunan SPRM jam 9.30 pagi menggunakan laluan belakang.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan selebriti berkenaan termasuk seorang artis terkenal tempatan berada dalam radar siasatan SPRM selepas dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.
Menurut sumber, individu itu dipercayai terbabit dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank tempatan bagi memperdayakan peminjam bank termasuk penjawat awam melalui pinjaman bertindih.
Januari lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam operasi Ops Sky.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
Sumber : Berita Harian/Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.