Sepanjang sambutan bulan Ramadan tahun ini, kerajaan Pahang telah memutuskan supaya tidak membenarkan sebarang aktiviti berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, perkara tersebut dilakukan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 sekali gus mengelak berlakunya kluster baharu.
"Kita tahu setiap kali Ramadan padang MBK1 menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka secara bersantai bersama keluarga.
"Jadi, Kita harap orang ramai dapat patuhi arahan ditetapkan. Keputusan ini untuk kepentingan bersama," katanya.
Sehubungan itu, Abd Rahim turut berharap agar peniaga di 30 tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Pahang.
Tambahnya, pembukaan 30 tapak perniagaan itu membabitkan seramai 1,836 orang dibenarkan berniaga di 58 lokasi.
"Saya difahamkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) merekodkan jumlah peniaga paling ramai iaitu 885 orang membabitkan 25 lokasi.
"Semua peniaga diminta mematuhi SOP iaitu pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu dan kebersihan gerai," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.