Penduduk disekitar pesisiran pantai Tok Bali dan Semerak dekat Pasir Puteh, Kelantan, terpaksa tidur dalam keadaan berjaga-jaga ekoran daripada fenomena angin kuat yang diramal bermula sejak semalam.
Walaupun sudah biasa dengan keadaan sedemikian, penduduk disekitar kawasan ini sentiasa berwaspada untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan memandangkan jarak antara rumah mereka dengan pantai hanya sekitar 10 meter.
Menurut salah seorang penduduk dari Kampung Dalam Rhu, Siti Norazurawati Samion, 39, berkata beliau tetap merasa takut walaupun sudah lama menentap dikawasan ini.
“Angin kuat bersama dengan ombak besar biasanya berlaku pada waktu malam.
“Ekoran fenomena itu, saya dan keluarga hanya 'tidur-tidur ayam' sahaja sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya lagi, kejadian pada 2014 merupakan antara kejadian ombak terbesar dalam hidupnya, hingga memaksa mereka sekeluarga untuk berpindah selama seminggu.
Selain itu, menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, beliau menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan pesisiran pantai untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga dan peka dengan arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Katanya, sekiranya angin kencang terus melanda penduduk disarankan berpindah dengan kadar segera.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.