Foto: Facebook
Sebuah pesawat ringan jenis microlight terlibat dalam kemalangan di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, Taiping pada pagi 7 Disember 2025. Insiden yang berlaku sekitar 10.30 pagi itu menyebabkan dua lelaki cedera dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Sebaik menerima maklumat kecemasan, anggota Polis Daerah Taiping segera bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan dan siasatan awal. Polis turut memaklumkan bahawa pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan berkenaan selamat, selain menyalurkan perkembangan kepada agensi berkaitan.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak memaklumkan bahawa panggilan kecemasan diterima melalui sistem NG999 pada 10.13 pagi. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping tiba lima minit kemudian.
Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa iaitu jurulatih penerbangan Mohd Faizal Mohd Sayed, 48 tahun dan pelatih Kumar Amit, 40 tahun didapati telah keluar dari pesawat yang terhempas. Kedua-duanya mengalami kecederaan termasuk patah kaki, namun tiada kebakaran dikesan pada pesawat.
Pasukan bomba melakukan penilaian bahaya sebelum mengaplikasikan konsep SAVER sebagai langkah keselamatan. Peralatan seperti stretcher dan C-collar digunakan bagi membantu proses membawa mangsa keluar dengan selamat sebelum mereka diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital.
Operasi menyelamat itu membabitkan tujuh anggota bomba dan diketuai Komander Operasi PBK II TBK Haswira Harun. Sebuah jentera FRT-1 turut digerakkan dan keseluruhan operasi berjaya dikawal pada 10.30 pagi sebelum ditamatkan pada 10.50 pagi.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.