
Foto: X (@ThaiEnquirer)
Siapa sangka di sebalik kostum tarian singa yang berwarna-warni, rupanya tersembunyi operasi khas pihak berkuasa!
Seorang suspek kes pecah rumah berjaya diberkas dalam satu operasi licik apabila anggota polis menyamar sebagai kumpulan penari tarian singa di sebuah pesta tokong di daerah Sai Noi, baru-baru ini.
Menurut pihak berkuasa, kes bermula pada 4 Februari 2026 apabila seorang pegawai kanan di bawah Biro Polis Metropolitan melaporkan kehilangan pelbagai barangan berharga dari kediamannya. Antara yang hilang termasuk sejumlah besar azimat Buddha dan dua patung Buddha bersaiz 12 inci.
Kediaman tersebut dipercayai dipecah masuk dan suspek dikatakan sempat kembali ke lokasi sama tidak lama selepas itu sebelum melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang lain.
Siasatan membawa pihak polis menjejaki beberapa barangan curi yang didakwa dijual kepada seorang individu dikenali sebagai ‘Jojo’, yang sering mengunjungi tokong sekitar Bang Bua Thong, Nonthaburi. Suspek pernah dikesan di sebuah tokong, namun berjaya meloloskan diri selepas menyedari gerak-geri mencurigakan.
Namun, gerak langkahnya akhirnya terhenti pada 18 Februari lalu.
Polis menerima maklumat bahawa suspek merancang untuk bertemu kenalan di beberapa tokong di daerah Sai Noi. Tanpa membuang masa, pihak berkuasa merancang taktik luar biasa iaitu menyamar sebagai penari tarian singa sempena pesta tokong yang sedang berlangsung.

Dalam suasana meriah dengan paluan gendang dan sorakan pengunjung, anggota polis yang lengkap berkostum singa berjaya mengenal pasti lelaki yang sepadan dengan deskripsi suspek. Tanpa menimbulkan sebarang kekecohan, mereka menghampiri dan menahannya di lokasi kejadian.
Penahanan tersebut dilakukan tanpa insiden tidak diingini, sekali gus menamatkan siri kejadian pecah rumah yang menyasarkan kediaman pegawai berkenaan.
Taktik kreatif itu kini menjadi bualan ramai, dengan netizen memuji kebijaksanaan dan keberanian pasukan polis yang sanggup menari demi memastikan suspek diberkas.
Sumber: X (@ThaiEnquirer)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.