Sebuah pondok usang yang hanya berdindingkan kayu reput menjadi tempat berteduh selama lima tahun bagi seorang pencari lokan di Kampung Teluk Bayu.
Muhammad Yahya, 57, atau lebih mesra disapa sebagai Pok Mat mediami pondok usang peninggalan penduduk kampung selama lima tahun. Setiap kali hujan, tidur lena Pok Mat akan terganggu dengan titisan air yang membasahi tempat tidurnya yang serba kekurangan.
Pok Mat berkata, dia mula menetap di pondok usang itu selepas dipelawa rakannya yang merupakan seorang peniaga kain disekitar Kuala Besut.
"Saya tinggal dekat rumah ni dalam 5 tahun, sebenarnya ini rumah lama yang ditinggalkan orang dan sebab tiada pilihan, saya mengambil keputusan tinggal di sini,” katanya.
Meskipun, pondok tersebut berada dalam keadaan serba kekurangan dengan ketiadaan bekalan air, elektrik dan sebagainya namun pondok berkenaan menjadi tempatnya untuk melepaskan penat lelah dan melelapkan mata.
Menurut Pok Mat kebiasaannya selepas solat subuh dia keluar dengan mengayuh basikalnya untuk mencari lokan di sekitar sungai berdekatan dan akan mencari lokan itu antara dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan.
Lazimnya setiap kali mengutip lokan dia akan memperolehi hasil sekitar RM10 selain itu dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Menyedari kepayahan yang dilalui Pok Mat itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman terus mengambil tindakan dan bantuan segera turut dihulurkan.
Menurut Tengku Zaihan, pihaknya sedang menguruskan rumah baharu untuk Pok Mat yang mana bayaran sewanya akan diuruskan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).
"Kita dah berjaya mendapat rumah untuk Pok Mat yang mana bayaran sewanya akan diuruskan oleh pihak MAIDAM.
"Buat sementara, kita akan menempatkan Pok Mat di sebuah suraU berhampiran sementara menunggu proses dokumentasi antara Maidam dan pemilik selesai selain melihat keperluan yang lain," katanya.
Terdahulu, Tengku Zaihan bersama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (MUSZLEEM) dan Koperasi Azlan Al-Amin Group hadir meninjau dan menyampaikan sumbangan kepada Muhammad.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.