Foto: Modern Diplomacy
Sanae Takaichi secara rasmi mencipta sejarah apabila dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun hari ini, menandakan detik penting dalam landskap politik negara Matahari Terbit itu.
Namun, pelantikan kabinet pertamanya menimbulkan reaksi bercampur apabila Takaichi hanya menamakan dua wanita lain dalam barisan 19 menteri, meskipun sebelum ini berjanji untuk mencapai tahap perwakilan gender setaraf dengan negara-negara Nordic.
Antara dua wanita tersebut ialah Satsuki Katayama, yang mencatat sejarah sebagai menteri kewangan wanita pertama Jepun, dan Kimi Onoda yang dilantik sebagai menteri keselamatan ekonomi.
Takaichi, 64, yang dikenali sebagai pengagum bekas perdana menteri Britain, Margaret Thatcher, sebelum ini menyatakan hasrat untuk memastikan keseimbangan jantina dalam pentadbiran. Namun, keputusannya kini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana janji itu dapat diterjemahkan dalam realiti politik Jepun.
Menurut laporan, Takaichi juga menyebut bahawa jawatankuasa eksekutif parti pemerintahnya bakal “setanding dengan negara-negara Nordic” dari segi perwakilan wanita. Namun begitu, Jepun kini masih berada di kedudukan ke-118 daripada 148 negara dalam Laporan Jurang Gender Forum Ekonomi Dunia 2025.
Negara-negara Nordic seperti Iceland, Finland dan Norway terus menduduki tiga tempat teratas dunia dalam kesamarataan jantina.
Selain dua pelantikan wanita, Takaichi turut menamakan beberapa tokoh utama lain termasuk Toshimitsu Motegi sebagai menteri luar, yang terkenal kerana memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan pentadbiran pertama Presiden Donald Trump, serta Shinjiro Koizumi sebagai menteri pertahanan, yang juga merupakan pesaing rapat Takaichi dalam pemilihan kepimpinan Parti Demokratik Liberal baru-baru ini.
Pelantikan Takaichi menandakan era baharu kepimpinan Jepun yang diharap mampu memperkukuh suara wanita dalam politik, meskipun langkah awalnya masih jauh daripada jangkaan banyak pihak.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.