Sultan Muhammad V menitahkan supaya rakyat Kelantan kekal mematuhi arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berjalan dan tidak merentas negeri pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
Menurut Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata baginda bertitah, tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka sebaliknya ini adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.
"Apabila kita tidak berjumpa dengan mereka, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus COVID-19 yang kini mempunyai mutasi yang semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.
"Dengan kes positif di negeri Kelantan yang masih berada di paras tiga angka, rakyat hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan sosial, dan menjaga kebersihan diri supaya tidak dijangkiti virus COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.
Nik Mohd Shafriman berkata Sultan Muhammad V turut menitahkan berikutan kes di dalam negara yang menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan sehingga 13,215 kes pada Khamis, baginda turut menasihatkan supaya status pembukaan masjid-masjid dikekalkan seperti ketetapan yang sedia ada.
Beliau berkata baginda menyeru supaya rakyat mengambil iktibar dari kluster-kluster masjid yang berlaku sebelum ini kerana virus ini tidak mengenal orang, tempat dan waktu.
"Antara ajaran Rasulullah apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit adalah pencegahan. Adalah menjadi tanggungjawab agama setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat-tempat awam, termasuk masjid, agar orang yang sihat tidak dijangkiti.
"Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud 'Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat'," katanya.
Beliau berkata Sultan Muhammad V menyeru seluruh rakyat agar bersabar dalam menempuhi kesukaran ini dan bersama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam membantu meringankan beban petugas-petugas kesihatan yang sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa beribu-ribu pesakit di seluruh negara.
"Baginda juga mengajak semua rakyat terus berdoa supaya kes yang mencanak naik ini dapat dilandaikan dan imuniti kelompok akan berjaya dicapai secepat mungkin," katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.