Foto: Astro AWANI
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra pada Rabu berkenan mengisytiharkan tengkolok khas “Setangan Getam Budu” sebagai Warisan Kelantan.
Pengisytiharan itu dilakukan sempena perasmian Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan 2025 di Istana Balai Besar.
Menurut Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan merangkap penyelaras festival, Mohamed Safaruddin Ismail, tengkolok berkenaan merupakan pakaian solekan istiadat yang mula digunakan sejak tahun 1925.
“Menariknya, tahun ini genap 100 tahun Setangan Getam Budu dan ia masih dipakai hingga sekarang,” katanya.
Majlis perasmian festival turut diserikan dengan perarakan dua ekor gajah serta pameran Bunga Emas yang menjadi tumpuan pengunjung.
Festival yang bermula Ahad lalu dan berlangsung hingga 10 September ini menampilkan pelbagai koleksi tekstil tradisional termasuk tenun, songket, kain pelangi, kain telepuk dan kain kelingkan yang pernah dipakai golongan bangsawan serta diraja.
Selain pameran, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan kain telepuk menggunakan emas tulen, menenun songket, menghasilkan jebak puyuh serta ukiran barang kemas emas dan perak oleh penggiat seni tempatan.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.