Seorang wanita warga Mali menarik perhatian orang ramai apabila dilaporkan telah selamat melahirkan sembilan bayi kembar di sebuah hospital di Maghribi pada Selasa.
Menurut jurucakap kerajaan Mali, kesemua sembilan bayi itu dan ibunya Halima Cisse, 25, berada dalam keadaan sihat.
Pada awalnya, Halima hanya tahu bahawa dia akan melahirkan bayi kembar tujuh, namun beliau tetap gembira dengan pertambahan dua lagi anak itu.
Berita seperti ini, kes wanita melahirkan bayi kembar tujuh dengan selamat jarang sekali berlaku, apatah lagi jika kembar sembilan.
Walau bagaimanapun, kes yang sangat jarang berlaku ini belum lagi disahkan pihak berkuasa Maghribi.
Susulan itu, kerajaan Mali menghantar Halima yang berasal dari utara Afrika Barat ke Maghribi untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik.
Dalam pada itu, jurucakap kementerian kesihatan Maghribi, Rachid Koudhari turut berkata beliau tidak tahu tentang kelahiran bayi kembar sembilan di sebuah hospital di negara itu.
Tetapi, Kementerian Kesihatan Mali dalam satu kenyataan menyebut bahawa Cisse telah melahirkan lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki melalui kaedah pembedahan.
"Ibu dan bayi sihat setakat ini. Mereka akan pulang dalam beberapa minggu lagi," kata Menteri Kesihatan Mali Fanta Siby kepada AFP.
Siby mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Mali dan Maghribi atas sikap profesionalisme yang ditonjolkan sejak awal.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.