Foto: Sinar Harian
Tradisi seni wayang kulit yang menjadi lambang warisan budaya masyarakat Kelantan kembali mendapat perhatian apabila diangkat secara kreatif melalui Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2025 yang berlangsung meriah di Pantai Irama, Bachok.
Persembahan yang diberi nafas baharu ini menampilkan pendekatan moden melalui persembahan golongan muda, sekali gus menghidupkan kembali seni bayang yang sekian lama menjadi identiti budaya negeri Cik Siti Wan Kembang.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, berkata bahawa festival yang memasuki edisi kelapan itu memberi penghormatan kepada seni persembahan tradisional yang berakar umbi dalam masyarakat setempat, khususnya wayang kulit.
Menurut beliau, tumpuan utama FKRK 2025 adalah pada persembahan gala bertajuk Baye, yang bertemakan ‘waye’ (wayang), iaitu usaha memodenkan semula pementasan tradisi melalui gabungan elemen kontemporari.
“Baye ialah satu bentuk koreografi pentas yang diilhamkan daripada persembahan wayang kulit. Tahun ini, ia menjadi tunjang utama pengisian festival, bagi menarik perhatian generasi muda terhadap warisan seni ini,” jelasnya semasa sidang media selepas majlis penutupan FKRK 2025 pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, persembahan utama menggunakan skrin lut sinar dan pencahayaan khas bagi menghasilkan kesan siluet, membentuk gaya persembahan bayang moden yang masih mengekalkan elemen tradisional wayang kulit.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, manakala malam kemuncak turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Emie Sukma Sari, Irfan Mutiara Biru, Pokyie Gasi dan kumpulan Geng Tiga Beradik.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Mohd Amran turut memaklumkan bahawa FKRK 2025 yang berlangsung selama empat hari sejak Rabu lalu berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung dari seluruh negara, hasil kerjasama erat antara JKKN Kelantan dan MOTAC.
“Lebih 50 reruai aktiviti disediakan sepanjang festival, antaranya demonstrasi masakan tradisional, permainan rakyat, persembahan pentas, dan aktiviti kebudayaan lain yang mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Antara pertandingan yang mencuri perhatian termasuk Kuca Suro 10 Kawah, Dikir Barat Remaja, Musabaqah Azan, Pertandingan Biddah (lastik) serta persembahan berunsur jenaka dan tangkas dalam Pertandingan Beruk Pulah Nyior, yang menghiburkan para pengunjung.
Penganjuran festival ini selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan pembentukan masyarakat berjiwa ihsan, peduli, serta meraikan kepelbagaian budaya dan warisan seni yang menjadi aset penting negara.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.