Foto sekadar hiasan
Dunia digital sekali lagi dikejutkan dengan insiden keselamatan siber yang amat membimbangkan apabila lebih 200 juta maklumat log masuk pengguna dilaporkan telah terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Insiden kebocoran data ini melibatkan pelbagai platform internet terkemuka seperti Facebook, Google, Apple, Netflix, Microsoft, Snapchat, Roblox dan PayPal, yang menjadi sasaran kepada perisian hasad yang dikenali sebagai ‘infostealer’.
Menurut laporan oleh firma keselamatan siber Website Planet, kebocoran ini berlaku hasil daripada jangkitan perisian hasad jenis infostealer yang bertindak secara senyap dalam sistem peranti pengguna tanpa disedari.
Perisian ini berfungsi mencuri data peribadi secara automatik, termasuk kata laluan yang disimpan, maklumat log masuk, alamat e-mel, data autofill, dokumen peribadi dan kuki penyemak imbas.
Maklumat tersebut kemudian dihimpunkan dan berkemungkinan besar dijual dalam pasaran gelap atau digunakan oleh penjenayah siber untuk mengakses akaun pengguna secara haram bagi tujuan jenayah seperti penipuan kewangan, pencurian identiti atau penyamaran digital.
Pendedahan data berskala besar ini menimbulkan kebimbangan serius tentang tahap keselamatan siber yang masih rapuh, meskipun melibatkan syarikat teknologi gergasi yang seharusnya memiliki sistem pertahanan siber yang kukuh dan canggih. Penjenayah siber kini menggunakan pendekatan yang semakin sofistikated untuk menembusi sistem perlindungan digital dengan menyasarkan pengguna biasa yang tidak menyedari kehadiran ancaman ini.
Dalam banyak kes, pengguna tidak mengetahui bahawa peranti mereka telah dijangkiti sehinggalah data mereka disalahgunakan. Kesannya bukan sahaja terhad kepada pencerobohan akaun peribadi, malah boleh menjurus kepada kerugian kewangan dan ancaman terhadap keselamatan peribadi.
Sehubungan itu, para pengguna digesa untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi data peribadi mereka, termasuk mengemaskini perisian antivirus, tidak memuat turun perisian daripada sumber yang tidak sah, serta menggunakan kata laluan yang kukuh dan tidak digunakan semula pada akaun lain.
Penggunaan pengesahan dua faktor (2FA) juga amat digalakkan bagi menambah lapisan keselamatan terhadap akses akaun. Individu turut dinasihatkan agar sentiasa memantau aktiviti akaun mereka dan mengambil tindakan segera jika terdapat sebarang kelakuan yang mencurigakan.
Dalam konteks yang lebih luas, insiden ini menjadi satu peringatan penting bahawa keselamatan siber bukan sahaja terletak di bahu penyedia perkhidmatan, tetapi turut menjadi tanggungjawab setiap pengguna dalam memastikan maklumat peribadi mereka tidak mudah terdedah kepada ancaman yang kian berkembang.
Kesedaran tentang ancaman digital serta langkah-langkah pencegahan sewajarnya perlu disebarluaskan, sama ada melalui pendidikan formal atau sumber bacaan seperti buku Kesedaran Keselamatan Siber: 101 Penganalisaan Ancaman Siber oleh Madinah Mohd Saudi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Buku tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan perlindungan data dan pengenalan kepada pelbagai bentuk serangan siber serta pendekatan dalam menghadapinya.
Dalam era digital yang semakin kompleks ini, ketelitian dalam mengendalikan data peribadi serta pengetahuan asas tentang keselamatan siber merupakan keperluan asas bagi semua pihak tanpa mengira latar belakang teknologi. Kegagalan dalam memahami dan menanggapi ancaman ini boleh membawa kesan buruk bukan sahaja kepada individu, malah kepada keseluruhan ekosistem digital yang saling berkait rapat antara satu sama lain.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.