BMW dinaiki empat mangsa remuk selepas merempuh treler rosak di Lebuhraya Plus, dekat Yong Peng. FOTO ihsan PDRM
Empat individu terkorban termasuk tiga wanita warga Vietnam dalam kemalangan di Kilometer 123.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Yong Peng, di sini, semalam dipercayai akibat kereta mewah dinaiki mangsa merempuh treler rosak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 26 tahun yang memandu treler rosak lalu terhenti di tengah-tengah lebuh raya itu.
Menurutnya, ketika pemandu itu mengalihkan treler tersebut ke tepi, datang sebuah kereta jenis BMW merempuh treler dari arah belakang akibat tidak sempat mengelak.
"Siasatan awal mendapati kereta itu dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun bersama tiga penumpang warga Vietnam berusia 19 hingga 32 tahun.
"Tiga daripada mereka termasuk pemandu maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanan Nora Ismail (HSNI)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dengan mayat dibawa ke HSNI untuk bedah siasat.
Katanya, kesemua mangsa dipercayai dari Semenyih, Selangor dalam perjalanan ke Kulai.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999 bagi membantu siasatan.
Sumber : Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.