
Foto: Astro Awani
Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat, 6 Jun 2025, menurut ramalan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengumuman awal ini berdasarkan unjuran astronomi bahawa anak bulan Zulhijjah 1446H akan dapat dilihat pada petang Selasa, 27 Mei 2025. Jika kelihatan, maka 1 Zulhijjah akan jatuh pada 28 Mei 2025, menjadikan hari kesepuluh – iaitu Aidiladha – jatuh pada 6 Jun 2025.
Menurut Pengarah Pusat Astronomi Antarabangsa, Mohammad Shawkat Odeh, anak bulan dijangka boleh dilihat melalui penggunaan teleskop di beberapa kawasan di Asia Tengah dan Barat, serta sebahagian besar benua Afrika dan Eropah. Malah, katanya, di beberapa lokasi di benua Amerika, anak bulan mungkin boleh dilihat dengan mata kasar.
“Berdasarkan kepada data falak dan kedudukan bulan, kemungkinan besar 28 Mei akan menjadi hari pertama Zulhijjah, sekali gus menentukan Aidiladha jatuh pada 6 Jun,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh Astro AWANI.
Walau bagaimanapun, tarikh rasmi Hari Raya Aidiladha di Malaysia hanya akan disahkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas proses cerapan anak bulan dilakukan mengikut lokasi-lokasi strategik di seluruh negara.
Cerapan tersebut biasanya dijalankan pada petang 29 Zulkaedah setiap tahun Hijrah, dan keputusan rasmi akan diumumkan menerusi siaran langsung televisyen oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sehubungan itu, umat Islam di Malaysia disaran untuk menunggu pengumuman rasmi sebelum membuat sebarang perancangan akhir, khususnya berkaitan ibadah korban dan perjalanan pulang ke kampung.
Meskipun tarikh rasmi masih belum diumumkan, para peniaga dan orang ramai sudah mula membuat pelbagai persiapan bagi menyambut Aidiladha. Tempahan baju raya, kuih tradisional, serta perancangan ibadah korban mula rancak diatur oleh individu, syarikat, dan badan-badan kebajikan.
Beberapa platform e-dagang turut mencatatkan peningkatan dalam carian berkaitan baju kurung, baju Melayu dan kelengkapan dekorasi rumah seperti banner Hari Raya Haji serta tempahan awal daging korban secara dalam talian.
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan salah satu daripada dua perayaan besar umat Islam. Ia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan menandakan kemuncak ibadah haji yang dilakukan di Tanah Suci Makkah.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.