
Foto: Sinar Plus
Dalam satu pertandingan masakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang di Taman Tasik Maran, hidangan acar buah yang dinobatkan sebagai juara rupa-rupanya dimasak oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Menariknya, baginda tidak bertanding atas nama sendiri, sebaliknya menggunakan nama samaran ‘Aminah Mahmood’. Pertandingan tersebut disertai oleh 11 peserta, di mana setiap peserta perlu membawa hidangan yang sudah siap dimasak dari rumah untuk dinilai oleh para juri.
Tanpa sebarang pengecualian atau layanan istimewa, baginda turut mematuhi syarat yang sama seperti peserta lain, menjadikan kemenangan itu benar-benar berpaksikan rasa dan kualiti masakan semata-mata. Menurut salah seorang juri, mereka tidak menyangka bahawa hidangan yang dinobatkan sebagai pemenang itu adalah hasil air tangan Tengku Ampuan Pahang. Rasa acar buah tersebut dikatakan sangat seimbang, tidak berminyak, dan setiap hirisan buah bersalut kemas dengan kuah yang kaya rempah serta penuh rasa.
Sebaik sahaja diumumkan bahawa ‘Aminah Mahmood’ ialah nama samaran Tunku Azizah, suasana pertandingan bertukar menjadi gamat dengan tepukan dan reaksi terkejut daripada peserta serta pengunjung yang hadir. Ramai yang kagum dengan kesungguhan dan kerendahan hati baginda yang sanggup bertanding secara rahsia, hanya kerana mahu menyertai secara adil dan sama rata seperti peserta lain.

Foto: Sinar Plus
Sebelum pertandingan bermula, baginda turut berkenan mencemar duli menghadiri karnival berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak, Maran. Baginda turut diiringi oleh Che Puan Panglima, Puteri Suraiya Afzan Datuk Mohammed Moizz.
Tunku Azizah sememangnya terkenal sebagai seorang yang dekat dengan dunia masakan. Ramai yang tahu baginda sering berkongsi minat memasak, menjahit dan seni kraf tangan. Malah, baginda juga aktif menerbitkan buku resipi serta menyokong program-program pembangunan wanita dan komuniti setempat.
Kisah ‘Acar Buah Aminah Mahmood’ ini bukan sahaja mencetuskan kekaguman, malah menyampaikan satu mesej yang cukup mendalam bahawa dalam dunia masakan, rasa adalah raja. Dan kadangkala, Raja pun sanggup turun padang sebagai rakyat biasa, hanya kerana cinta yang tulus terhadap dunia kulinari.
Sumber: Sinar Plus
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.