Foto: APM
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jelebu menjalankan satu misi penyelamatan yang dianggap luar biasa apabila menerima permintaan daripada orang awam untuk menyelamatkan sebuah telefon pintar iPhone yang terjatuh ke kawasan curam di Bukit Batu Sawa, baru-baru ini.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Leftenan (PA) Mohd. Najib Abdul Karim, kejadian berlaku pada jam 11.45 pagi apabila pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an yang meminta bantuan bagi mendapatkan semula telefonnya yang terjatuh sewaktu berada di kawasan bukit berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota kami mendapati wanita tersebut bersama rakannya masih berada di tempat kejadian. Keadaan lokasi agak mencabar kerana telefon tersebut jatuh ke kawasan curam berbatu dengan kedalaman dianggarkan sekitar 10 meter.
“Permukaan curam juga licin dan berisiko. Justeru, anggota kami memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan menggunakan peralatan khas untuk menuruni kawasan tersebut secara berhati-hati,” katanya ketika dihubungi.
Walaupun operasi itu tidak melibatkan nyawa manusia, ia tetap dianggap serius oleh pasukan APM kerana melibatkan risiko fizikal kepada anggota penyelamat yang perlu menuruni kawasan yang tidak stabil demi memastikan barangan yang diminta dapat diselamatkan dengan selamat.
Setelah beberapa langkah keselamatan diambil, telefon iPhone tersebut berjaya dibawa naik dan diserahkan semula kepada pemiliknya, sebelum operasi ditamatkan sekitar jam 1.38 tengah hari.
Mohd. Najib berkata, misi seperti ini merupakan pengalaman baharu dan unik buat pihaknya, memandangkan kebanyakan panggilan kecemasan yang diterima APM sebelum ini lebih tertumpu kepada bantuan kemalangan jalan raya, bencana banjir, operasi menyelamat mangsa terperangkap dan pelbagai kecemasan lain yang melibatkan keselamatan nyawa.
“Walaupun ia bukan misi menyelamat nyawa, kami tetap komited melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat mengikut skop dan kapasiti kami. Permintaan ini juga menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan APM,” tambahnya.
Insiden ini menjadi bukti bahawa APM bukan sahaja terlibat dalam operasi besar berskala bencana, malah turut memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat dalam situasi kecil namun mencabar, sekaligus memperkukuhkan hubungan antara agensi penyelamat dan komuniti.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.