
Astro menyambut ketibaan Ramadan 1447 Hijrah dengan memperkenalkan kempen khas bertemakan Bersama Lagi Jadi yang menampilkan pelbagai kandungan menarik untuk tontonan seisi keluarga.
Inisiatif ini bukan sahaja menumpukan kepada hiburan, malah turut menekankan pengisian kerohanian yang sesuai untuk pelbagai lapisan usia menerusi platform televisyen, radio, digital serta aktiviti lapangan sepanjang bulan Ramadan.
Kempen Ramadan dan Syawal Astro tahun ini turut menampilkan barisan selebriti terkenal sebagai duta dalam menyampaikan mesej positif kepada masyarakat, antaranya Zizan Razak, ALPHA, Sharifah Shahira dan Auddra.
Program Jelajah Assalamualaikum Jadi Pembuka Tirai
Astro meneruskan tradisi penganjuran program jelajah Assalamualaikum sebagai pembuka kempen Ramadan. Bagi tahun 2026, program berkenaan akan berlangsung di Masjid Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 7 Februari dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat.
Naib Presiden Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak dan On Demand Astro, Azlin Reza Azmi berkata tema Bersama Lagi Jadi dipilih bagi menzahirkan kemeriahan Ramadan dan Syawal yang lebih bermakna apabila diraikan bersama insan tersayang.

“Tahun ini, Astro mengangkat tema ‘Bersama Lagi Jadi’, mencerminkan setiap detik Ramadan dan Raya akan lebih indah apabila ia diraikan bersama yang tersayang.
“Lebih istimewa, barisan kandungan yang ditawarkan Astro Ramadan kali ini meraikan semua peringkat usia serta merapatkan hubungan sesama keluarga melalui pelbagai program kerohanian, drama dan rancangan hiburan,” katanya.
Sajian Program Islamik dan Pengisian Kerohanian
Sepanjang Ramadan 2026, pelanggan Astro bakal disajikan dengan pelbagai program keagamaan di Astro Oasis termasuk Home Of Ramadan yang bersiaran secara langsung setiap Isnin hingga Jumaat dengan segmen interaktif seperti pengajian Al-Quran, tazkirah, masakan serta sesi soal jawab.
Turut ditampilkan ialah Halaqah Nunha yang menampilkan gandingan Ustaz Haris Ismail bersama Neelofa menerusi perbincangan berkaitan penghayatan Ramadan. Selain itu, program MeleTOP Moreh x Tazkirah Malam Jumaat buat julung kali menggabungkan elemen hiburan dan dakwah bersama barisan penceramah, selebriti jemputan serta persembahan nasyid.
Program lain termasuk Surau Hunting yang membawa penonton menelusuri keunikan surau di pelbagai lokasi, serta Mualim Muda: Ke Mekah, Kita! yang memaparkan perjalanan peserta menunaikan ibadah umrah.

Barisan Drama Baharu Warnai Ramadan
Astro turut menampilkan beberapa drama baharu termasuk Andai Itu Takdirnya 2 yang kembali dengan jalan cerita berbeza, Sujud Terakhir Encik Norman yang mengetengahkan konflik keimanan, Keluarga Iskandar 3 yang mengembalikan nostalgia penonton, Mencari Isteri Sempurna serta drama komedi keluarga Misi Solat 5 Waktu.
Program Hiburan, Realiti dan Variasi Seisi Keluarga
Penonton juga boleh mengikuti pelbagai program hiburan dan realiti seperti MeleTOP Moreh, Dapur Bapak Bapak yang menggabungkan Chef Wan, Tok Ram dan Tok Jalal di dapur, Misi Lawak Superstar serta Kisah Hidupku yang mengetengahkan kisah inspirasi masyarakat.
Bagi penonton kanak-kanak, animasi popular Upin dan Ipin Musim 19 kembali bersiaran dengan pengembaraan baharu sepanjang Ramadan.
Kandungan Eksklusif Platform Digital
Melalui platform Astro Gempak, penonton turut disajikan kandungan eksklusif seperti Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani serta Sayang Ajar Masak musim ketiga yang menampilkan konsep pertandingan masakan selebriti.
Program Menarik di Astro Radio
Astro Radio menyediakan pelbagai program khas Ramadan termasuk Tumpang Belajar di ERA, John Sinar di SINAR, Projek Balang Air di GEGAR serta Rasa Kasih Zayan yang melibatkan aktiviti kebajikan bersama gelandangan. ERA Sabah dan ERA Sarawak turut menampilkan segmen khas bagi membantu pendengar dan peniaga tempatan sepanjang Ramadan.
Tayangan Filem Istimewa Astro First
Melalui Astro First, penonton berpeluang menikmati tayangan filem bertemakan isu sosial seperti Akad Yang Hilang, Abah Saya, Uncle Mike serta Amira Amir yang boleh ditonton menerusi konsep Pawagam Di Rumah Anda.
Inisiatif CSR dan Sumbangan Ramadan
Dari aspek tanggungjawab sosial korporat, Astro Kasih menjemput 50 pelajar Kem Solat untuk menyertai program Assalamualaikum di Masjid Seberang Takir selain menyalurkan 100 pek sumbangan melalui inisiatif Grobok Rezeki kepada golongan asnaf. Astro juga membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang melalui Program Kasih Ramadan menerusi akaun Yayasan Astro Kasih.
Maklumat lanjut mengenai kandungan Ramadan Astro 2026 boleh diperoleh menerusi laman web rasmi kempen serta platform media sosial Astro. Pelanggan turut berpeluang menikmati tawaran Pek Astro One yang menawarkan pengalaman penstriman dan hiburan dengan harga bermula RM49.99.