
Foto Hiasan
Sejak beberapa hari lalu, penduduk di Kampung Labok, Machang, berdepan cuaca panas luar biasa yang bukan sahaja menjejaskan keselesaan siang hari, malah turut ‘menghantui’ waktu malam. Suhu yang mencecah 37 darjah Celsius memaksa orang ramai, termasuk kanak-kanak, mandi beberapa kali hanya untuk mendapatkan sedikit kelegaan.
Syahman Kamaruddin, 44, salah seorang penduduk tempatan, meluahkan kebimbangannya terhadap keadaan ini yang semakin tidak terkawal.
“Bayangkan, malam pun panas seperti tengah hari. Anak-anak terpaksa mandi berkali-kali sebelum dapat tidur. Siang hari lagilah, berpeluh tanpa henti,” katanya.
Namun yang lebih membimbangkan, katanya, ialah bekalan air yang semakin terjejas.
“Masalah air keruh seperti karat ini bukan perkara baru, tetapi dalam cuaca panas begini, ia sangat menyukarkan. Kita perlu guna air lebih banyak, tetapi bekalan pula tidak bersih. Setiap kali nak mandi, kena fikir dua tiga kali,” jelasnya.

Foto Hiasan
Syahman yang turut menetap di Pasir Mas berkata, walaupun penduduk di Kelantan sudah biasa dengan cuaca panas, namun keadaan di Machang ketika ini dianggap di luar kebiasaan. Keperluan asas seperti air bersih kini menjadi isu utama yang menambah tekanan kepada kehidupan seharian mereka.
Keadaan ini turut mengundang keprihatinan penduduk menjelang sambutan Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi. Mereka bimbang jika masalah air tidak diselesaikan segera, sambutan perayaan kali ini mungkin suram dan mencabar.
“Saya harap kerajaan negeri ambil langkah segera. Sekurang-kurangnya pastikan bekalan air mencukupi dan bersih sepanjang musim panas dan semasa perayaan nanti,” katanya.
Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Machang dan Kuala Krai di Kelantan antara kawasan yang kini dikategorikan dalam Tahap 1 (berjaga-jaga) apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. Negeri-negeri lain yang terjejas termasuk beberapa daerah di Kedah dan Perak.
Sementara itu, negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak dilaporkan mencatat suhu lebih rendah, di bawah 35 darjah Celsius.
Dalam situasi sebegini, penduduk bukan sahaja perlu berjaga-jaga dengan ancaman kesihatan akibat strok haba dan dehidrasi, tetapi juga harus berhadapan dengan cabaran harian seperti bekalan air yang tidak menentu. Cuaca ekstrem ini mengingatkan kita semua tentang kepentingan kesiapsiagaan infrastruktur asas dan keperluan untuk memperkukuh sistem sokongan bagi menghadapi fenomena cuaca yang semakin tidak menentu.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.