
Foto: Bernama
Masjid dan surau di seluruh negeri Terengganu dilarang menggunakan imam import daripada negara asing untuk mengimamkan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Memetik laporan Bernama, perkara itu diberitahu dan disahkan sendiri oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Menurutnya, pengurusan masjid dan surau digalakkan menggunakan khidmat kalangan pelajar tahfiz tempatan bagi mengimamkan solat tarawih.
"Tiada imam asing contohnya daripada Mesir dan Arab Saudi mengimamkan solat terawih di semua masjid dan surau di negeri ini, kecuali mereka yang berkhidmat sebagai guru atau pensyarah di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini.
"Kita amat menggalakkan pelajar kita yang hafal al-Quran dilantik sebagai imam tarawih dan elaun dibiayai oleh pengurusan masjid dan surau," katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1446H/2025M, di Kuala Terengganu, semalam.
Shaikh Harun turut menjelaskan bahawa pendekatan memberi keutamaan kepada pelajar tahfiz tempatan itu bertujuan memberi lebih pendedahan kepada golongan berkenaan bagi mengetuai solat tarawih pada usia muda.
“Pengurusan masjid dan surau juga diminta tidak mengehadkan membaca satu juzuk al-Quran bagi solat tarawih.
"Imam solat tarawih boleh bertahan dengan bacaan al-Quran yang panjang, tetapi menjadi kebimbangan kita makmum tidak tahan," katanya lagi.
Sebelum ini, Shaikh Harun merasmikan Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin, di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.