
Sembilan warga asing yang dipercayai menjalankan prosedur pembedahan kosmetik tanpa lesen ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam serbuan di dua unit kondominium terletak di Desa Petaling dan Bukit Jalil.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang dijalankan pada pukul 11 pagi itu turut menahan dua warga tempatan, lelaki dan perempuan disyaki menjadi ejen klinik berkenaan.
“Kesemua warga asing yang ditahan berasal dari Vietnam membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita.
“Mereka termasuk dua warga tempatan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi tujuan dokumentasi,” katanya.
Serbuan tersebut turut melibatkan pegawai dan beberapa anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.
Wan Mohamed Saupee turut menambah rakyat tempatan yang menjadi ejen dijanjikan komisen antara lima hingga 10 peratus daripada jumlah caj yang dikenakan kepada pelanggan, yang mendapatkan perkhidmatan pembedahan di klinik tersebut.
Hasil serbuan mendapati pembedahan kosmetik yang ditawarkan adalah untuk mencantikkan bahagian hidung, kelopak mata dan menegangkan muka.
Prosedur berkenaan dijalankan oleh seorang ‘doktor’ lelaki dari Vietnam yang tidak berlesen dan tanpa sijil untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan di negara ini. Harga untuk perkhidmatannya bermula RM1000 sehingga RM15,000 bergantung kepada prosedur yang dipilih pelanggan.
Rata-rata pelanggan terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing yang terpengaruh dengan perkhidmatan yang giat dipromosikan di media sosial oleh ejen.
Bilik utama di kedua-dua unit kondominium disewa pada harga RM2,600 sebulan tersebut dijadikan bilik bedah dilengkapi pelbagai alat pembedahan kosmetik termasuk ubat-ubatan import.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.