Siapa penggemar durian Musang King yang juga dikenali sebagai durian jenis D197. Enak, lazat, berlemak memang menepati citarasa penggemar durian walaupun harga yang mahal tetapi berbaloi!
Tapi pernah tak terfikir nak gabungkan durian dengan piza? Itulah yang dilakukan oleh dua beradik ini, Nur Hanani Ismail, 41, dan adiknya Ahmad Najib Ismail, 33, yang menghasilkan menu istimewa piza durian Musang King. Ia memberi peluang kepada peminat raja buah itu untuk menikmati isi durian tersebut bersama roti piza, pada harga berpatutan.
Ada yang menjangka kombinasi antara dua makanan itu agak pelik tetapi kemanisan isi durian Musang King yang digabungkan dengan rasa lemak-lemak masin keju, menjadi lebih enak apabila piza tersebut dibakar menggunakan dapur kayu, yang menghasilkan aroma asap.
"Menu piza durian musang king ini kami mulakan sejak tahun lepas, dan ia hanya dibuat pada musim durian. Kita tahu Musang King sangat mahal dan ramai yang tidak mampu membelinya. Jadi kami harap dengan adanya piza ini, pelanggan dapat juga merasai isi buah tersebut.
"Kami beli isi Musang King dalam bentuk pes daripada sebuah kilang di Raub, Pahang pada harga RM100 sekilo dan kami sejuk bekukan ia. Sekilo pes isi durian boleh menghasilkan kira-kira 30 keping piza," ketika ditemui Bernama di premisnya, Mystreet Pizza Kitchen, di Banggol Peradong dekat Manir.
Selain menjadikan roti piza lebih lembut dan sedap, dapur kayu yang digunakan sejak awal tahun ini, membuatkan tempoh untuk membakar piza hanya antara satu hingga dua minit sahaja berbanding mesin ketuhar, yang mengambil masa enam hingga 10 minit.
Sajian piza dapur kayu telah terima sambutan menggalakkan dan mampu terjual sehingga 250 keping sehari, termasuk jualan piza durian musang king iaitu sehingga 30 keping sehari, yang dijual pada harga RM12 bagi saiz lapan inci manakala RM20 bagi saiz 11 inci, kata Nur Hanani.
Mystreet Pizza Kitchen turut menyediakan menu piza daging salai, yang juga adalah menu istimewanya, di samping menu lain seperti piza 'meatball' (bebola daging), dan piza keju yang dijual antara RM10 hingga RM20 mengikut jenis dan saiz.
Ahmad Najib mula menjual piza dari rumah pada 2012, kini dua beradik ini mempunyai enam pekerja dan dibantu tiga lagi rakan mereka, bagi memastikan kelancaran proses pembuatan piza dan memenuhi permintaan pelanggan.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.