Foto sekadar hiasan
Obesiti kini mencatatkan peningkatan lebih membimbangkan berbanding masalah kekurangan berat badan, menurut laporan terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Laporan itu mendedahkan, 1 daripada 10 kanak-kanak serta remaja sekolah bersamaan kira-kira 188 juta orang, berisiko menghidap penyakit berbahaya berkaitan obesiti.
Kegagalan menangani isu ini dijangka membawa kerugian besar kepada ekonomi global, dengan kos rawatan dan kesan produktiviti dianggarkan mencecah lebih AS\$4 trilion (RM16 trilion) setahun menjelang 2035.
UNICEF memberi amaran bahawa obesiti bukan lagi masalah peribadi semata-mata, sebaliknya berpotensi menggugat kestabilan ekonomi dunia.
Antara faktor penyumbang utama termasuk peningkatan harga makanan sihat yang mendorong masyarakat beralih kepada makanan ultra-proses, selain pengaruh pemasaran digital yang semakin agresif menyasarkan golongan muda.
Kajian mendapati, 75% belia berusia 13 hingga 24 tahun terdedah kepada iklan minuman bergula, makanan ringan dan makanan segera setiap minggu. Malah, 60% mengakui terpengaruh untuk membeli produk tidak sihat selepas menonton iklan tersebut. Keadaan ini lebih ketara di negara bergolak, dengan 68% belia mengalaminya.
Jumlah individu berlebihan berat badan kini meningkat dua kali ganda kepada 391 juta orang, melebihi jumlah mereka yang mengalami kekurangan zat makanan.
Sehubungan itu, UNICEF menggesa negara-negara agar memperketat kawalan terhadap produk makanan tidak berkhasiat. Antara langkah yang disyorkan termasuk pengenaan cukai, mengehadkan iklan, serta memperluas akses kepada makanan segar.
Langkah-langkah tersebut dilihat bukan sahaja mampu mengurangkan beban ekonomi global, tetapi juga melindungi kesihatan masyarakat pada masa hadapan.
Sumber: UNICEF
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.