Gangguan bekalan air dijangka berlaku melibatkan 32,018 akaun di beberapa kawasan merangkumi empat jajahan di Kelantan, yang dijangka bermula semalam sehingga 30 Jan.
Air Kelantan Sdn Bhd dalam satu notis hebahan semalam memaklumkan daerah terlibat ialah Machang yang membabitkan 16,000 akaun, Pasir Puteh (9,539), Kota Bharu Selatan (5,979) dan Kota Bharu Timur (500).
Gangguan tersebut berlaku disebabkan kebocoran paip air mentah di Kampung Pulai Chondong, Machang, kelmarin.

Susulan itu, pihaknya menutup sementara waktu operasi Medan Telaga Sungai Bagan yang melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, di Machang.
"Pihak AKSB dalam perancangan teliti untuk menggantikan saluran paip tersebut secara berjadual dan dijangka mengambil tempoh bermula hari ini hingga 30 Jan.
"Namun, ia bergantung kepada situasi di tapak dan AKSB akan memaklumkan status perkara ini dari semasa ke semasa," menurut notis itu.
Pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi dan Talian Aduan (PINTAS) di talian 15777 atau WhatsApp 0195755777 atau muat turun aplikasi MyAKSB untuk maklumat lanjut.


Sumber: Astro Awani / BERNAMA
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.