Foto: KPJ
Gula dan garam merupakan bahan asas yang penting dalam masakan harian. Tanpa salah satu daripadanya, rasa makanan atau minuman pasti terasa kurang. Namun, sejauh manakah pengambilan kedua-dua bahan ini memberi kesan terhadap kesihatan?
Persoalan ini sering menjadi perdebatan, terutamanya dalam kalangan individu yang menghidap penyakit kronik. Adakah gula atau garam lebih berbahaya untuk tubuh manusia?
Gula Lebih Berisiko Berbanding Garam
Perbincangan mengenai isu ini telah menarik perhatian ramai susulan siaran audiosiar (podcast) YouSihat yang menampilkan dua tokoh perubatan, iaitu Dr Malar dan Pakar Kardiologi, Dr Onn Akbar Ali.
Dalam episod tersebut, Dr Onn menjelaskan bahawa gula sebenarnya lebih berbahaya berbanding garam, khususnya dari sudut kesihatan kardiovaskular.
“Secara keseluruhan, gula lebih teruk daripada garam. Jika perlu memilih antara mengurangkan pengambilan gula atau garam, lebih baik elakkan gula,” ujar beliau dengan tegas.
Pandangan ini diberikan sebagai respons kepada soalan Dr Malar berkenaan bahan mana yang lebih memberi kesan negatif kepada tubuh.
Gula Menyebabkan Ketagihan dan Kesan Jangka Panjang
Dr Malar turut membangkitkan kebimbangan tentang garam, memandangkan individu yang menghidap tekanan darah tinggi sering kali dinasihatkan mengurangkan pengambilan garam.
Namun menurut Dr Onn, walaupun garam memberi kesan kepada tekanan darah, gula merupakan punca utama kepada pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Beliau menekankan bahawa gula bukan sahaja menyebabkan ketagihan, tetapi juga mempunyai impak jangka pendek dan jangka panjang terhadap fungsi tubuh.
“Gula ini menyebabkan ketagihan. Ia juga boleh memberi banyak kesan buruk dari segi kesihatan dalam jangka masa pendek mahupun panjang,” jelasnya.
Tubuh Kawal Gula Dengan Ketat
Dr Onn turut menjelaskan bahawa tahap gula dalam darah manusia dikawal secara sangat ketat oleh tubuh badan kerana julat paras yang dibenarkan adalah sangat sempit. Gula yang terlalu rendah boleh menyebabkan pengsan atau kematian, manakala gula yang terlalu tinggi pula boleh membawa kepada pelbagai komplikasi.
“Kadar gula dalam darah tidak boleh terlalu rendah atau terlalu tinggi. Kalau terlalu rendah, kita boleh rebah. Kalau tinggi pula, ia sangat berbahaya. Sebab itu badan akan usaha kekalkan paras gula yang sepatutnya,” tambah beliau.
![[video] gula atau garam, mana satu lebih berbahaya?](https://media2.fishtank.my/media/era/assets/gambar-2020/081793600_1514616149-mana-yang-lebih-bahaya-gula-atau-garam-by-5-second-studio-shutterstock.jpg)
Foto sekadar hiasan
Apa Itu Insulin?
Sebagai maklumat tambahan, insulin ialah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas dan berfungsi untuk membolehkan tubuh menggunakan glukosa (gula) daripada makanan sebagai sumber tenaga. Glukosa merupakan hasil penguraian karbohidrat dan akan digunakan oleh sel untuk pelbagai proses penting. Insulin juga bertindak menyimpan lebihan glukosa sebagai simpanan tenaga.
Fungsi Insulin: Kunci Mengawal Gula
Menurut Dr Onn, hormon insulin yang dihasilkan oleh pankreas adalah komponen penting dalam sistem tubuh untuk mengawal paras gula. Namun, pengambilan gula secara berterusan dan berlebihan akan memaksa insulin bekerja lebih keras, sekali gus memberi tekanan kepada sistem dalaman badan.
“Badan akan keluarkan insulin untuk kawal paras gula. Tapi kalau seseorang makan gula secara konsisten selama lima hingga enam tahun, mungkin tidak terus kena diabetes. Cuma, lama-kelamaan, badan akan mula mengalami keradangan kerana insulin terlalu kerap bekerja,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa apabila insulin berada pada tahap tinggi secara berterusan, ia akan menyebabkan buah pinggang menyimpan lebih banyak air dan garam, sekali gus membawa kepada pembengkakan anggota badan seperti kaki.
Disebabkan itu, pesakit yang mengalami simptom seperti kaki bengkak disarankan untuk mengawal pengambilan gula dalam diet harian mereka.
Meskipun kedua-dua gula dan garam memberi kesan terhadap kesihatan jika diambil secara berlebihan, gula dilihat sebagai ancaman yang lebih besar, terutamanya kerana ia menyebabkan ketagihan dan membebankan sistem badan dalam jangka masa panjang. Oleh itu, masyarakat disarankan untuk lebih berhati-hati dengan pengambilan gula dalam makanan dan minuman harian, lebih-lebih lagi dalam era minuman manis seperti boba dan kopi berperisa yang semakin digemari.
Sumber: TikTok You Sihat
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.