
Foto Hiasan
Semua kerajaan negeri disarankan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia mengancam kesihatan dan dikatakan berpotensi membawa kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
Menurut Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin, Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Penjagaan Primer, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, vape boleh menyebabkan masalah paru-paru, jantung dan saraf, terutama dalam kalangan remaja. Ia juga mudah didapati dan sering dianggap tidak berbahaya, sekali gus mendorong ketagihan.
"Daripada sudut kesihatan awam, pengharaman penjualan vape amat penting untuk melindungi generasi muda serta mengawal penularan amalan ini yang berisiko menjadi lebih serius berbanding rokok biasa," katanya.
"Ia juga salah satu cara pembaziran duit yang menjejas ekonomi individu dan keluarga penghisap vape secara langsung. Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan krisis kesihatan awam yang baharu.
"Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana memudaratkan kesihatan, oleh itu tidak patut lagi timbul isu pengharaman di peringkat negeri kerana ia sepatutnya di peringkat Kerajaan Persekutuan," katanya.
Dr Nur Amani Natasha berkata, lebih membimbangkan, vape umpama 'pintu' kepada penyalahgunaan dadah seperti ketamine, heroin methamphetamine dan etomidate.
Malah, katanya, dakwaan bahawa vape adalah alternatif untuk perokok tegar meninggalkan rokok (biasa) adalah tidak benar sama sekali.
Ramai mula guna vape untuk berhenti merokok, tapi akhirnya ketagih kedua-duanya.
Vape mengandungi nikotin, iaitu bahan yang menyebabkan ketagihan. Ia beri rasa seronok sekejap, tapi susah untuk berhenti.
"Setelah kesan nikotin ini habis di reseptor otak, pengguna vape akan automatik mendapat 'signal' untuk menghisap vape lagi. Selain itu, vape juga mengandungi bahan kimia berbahaya serta perisa dan pewarna yang menambah tarikan, terutamanya dalam kalangan remaja.
"Kombinasi ini menjadikan 'vaping' sebagai satu tabiat yang sukar dihentikan, malah ada yang mengatakan lebih susah daripada berhenti (menghisap) rokok biasa," katanya.
Pada Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape, yang kini dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sintetik.
Kenyataan ini dibuat susulan pendedahan bahawa pelajar seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang dicampur dengan bahan terlarang, dan situasi ini boleh menjadi ancaman baharu jika tidak dibendung.
Sehingga kini, Johor masih mengekalkan larangan penjualan vape sejak 1 Januari 2016, tidak mengeluarkan lesen penjualan, dan turut mengambil tindakan terhadap individu atau peniaga yang melanggar undang-undang berkaitan.
Sementara itu, Kerajaan Selangor dilaporkan akan mengkaji keperluan untuk mengharamkan penjualan vape melalui perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri sebelum membuat sebarang keputusan.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.