Seorang kanak-kanak perempuan bersama ibunya maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah lori yang diparkir di tepi jalan.
Nahas berlaku di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Durian Guling, Marang kira-kira jam 2.25 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 2.25 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario merempuh sebuah lori yang diparkir di bahu kiri jalan.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama anaknya dari arah Kampung Gondang mahu pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Bading, Ajil Hulu Terengganu.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori terbabit menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia," katanya di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzi di talian 010-2840273 atau 09-6182222 (IPD Marang)," katanya.
Sumber : Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.