Foto: Facebook
Chee Heng Kuan, yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, merupakan seorang aktivis kemanusiaan yang sering berkongsi kisah-kisah penuh inspirasi melalui media sosialnya.
Baru-baru ini, beliau menceritakan satu pengalaman yang sangat menyentuh hati berkaitan dengan seorang anak muda dari Pahang yang menggunakan program sewa kereta RM1 untuk meneruskan pengajiannya.
Dalam hantarannya di media sosial Facebook, Uncle Kentang menceritakan pertemuan dengan anak muda tersebut yang datang kepadanya bertanyakan tentang program kereta sewa murah itu.
“Anak Melayu ini datang jumpa saya dari Pahang. Bertanya tentang sewa kereta RM1. Saya tanya kenapa dia perlukan kereta. Dia kata dia tiada pengangkutan sendiri dan ingin menjimatkan kos,” katanya.
Apa yang lebih mengagumkan, selepas menyerahkan sebuah Proton kepadanya, anak muda itu tidak hanya menggunakan kereta tersebut sebagai pengangkutan semata-mata.
Uncle Kentang berkongsi bahawa dia menerima gambar kereta tersebut dengan bonet belakang penuh dengan sayur-sayuran yang hendak dijual.
“Dia tidak malu dan dia jual sayur selepas kelas,” katanya sambil menegaskan bahawa “banyak budak sekarang malu nak buat kerja macam ni, tapi ‘malu’ itu harus dibuang.”
Anak muda tersebut menggunakan peluang yang ada untuk menjana pendapatan sendiri bagi menampung yuran pengajian dan perbelanjaan hidup. Dalam perkongsian itu, Uncle Kentang menyatakan bahawa pelajar itu berjaya menamatkan pengajiannya sebagai seorang jurutera dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas.
“Dia pulangkan kereta kepada saya dalam keadaan baik selepas lima tahun. Sepanjang tempoh itu, dia yang servis dan baiki kereta sendiri,” kata Uncle Kentang dengan penuh bangga.
Dalam pesannya kepada para pelajar, Uncle Kentang menekankan bahawa tidak ada apa yang perlu disembunyikan atau dimalukan apabila berusaha mencari rezeki semasa belajar.
“Lagi malu kalau kita masih meminta-minta dari mak ayah, sedangkan kita tahu mereka susah. Kita harus malu pada Tuhan setiap kali sembahyang kalau kita malas dan tidak berusaha,” katanya.
Beliau juga mengajak masyarakat untuk menyumbangkan kenderaan yang tidak digunakan agar boleh disalurkan kepada pelajar lain yang memerlukan di universiti dan kolej.
“Patutkah program ini diperluaskan ke semua universiti? Sila undi,” ujarnya.
Kisah ini bukan sahaja memperlihatkan kecekalan dan kreativiti pelajar tersebut, malah juga menonjolkan keprihatinan dan usaha aktivis seperti Uncle Kentang dalam membantu golongan memerlukan.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.