Selepas mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Kelantan membenarkan pelaksanaan solat tarawih di masjid dan surau.
Bahkan, program tahunan kerajaan dalam meraikan bulan Ramadan, Madinatul Ramadan turut akan diadakan.
Bagaimanapun menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, standard prosedur operasi (SOP) solat tarawih dan jumlah yang dibenarkan akan dimaklumkan kemudian selepas jawatankuasa MKN Kelantan bermesyuarat.
“Setakat hari ini solat tarawih berjemaah dibenarkan serta Program Madinatul Ramadan dengan pematuhan SOP kecuali kalau ada perkara di luar kawalan.
“Program Madinatul Ramadan ini akan dijalankan di dataran stadium dengan SOP penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka yang ketat.
“Operasi Bazar Ramadan juga dibenarkan dan SOP pelaksanaannya akan ditetapkan dalam mesyuarat MKN nanti,” katanya.
Sebelum kebenaran dibenarkan, kerajaan akan merangka SOP yang sesuai kepada peniaga-peniaga di bazar Ramadan.
Sambutan bulan Ramadan di Kelantan sebelum penularan wabak COVID-19 meriah dengan Bazar Ramadan di serata daerah dan masjid serta surau hidup sepanjang malam.
Namun, suasana berkenaan muram dan sepi pada tahun lepas sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.