Foto sekadar hiasan
Mahkamah Syariah Kelantan merekodkan kes pertama melibatkan seorang individu transgender yang didakwa atas kesalahan menukar jantina, selepas penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang diwartakan sejak 2020.
Sumber Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan memaklumkan penahanan individu berkenaan dibuat menerusi satu operasi membabitkan penganjuran acara yang disertai komuniti transgender.
“Susulan penahanan itu, satu pertuduhan telah difailkan terhadap individu terbabit di Mahkamah Syariah Kelantan baru-baru ini atas dakwaan melakukan pengubahan jantina,” katanya ketika dihubungi media.
Menurut sumber tersebut, tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan kes kini masih berada pada peringkat pengurusan.
“Kes ini masih di peringkat awal dan tertuduh telah membuat pengakuan tidak bersalah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, perbuatan menukar jantina itu dipercayai dilakukan sekitar pertengahan tahun lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain.
“Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata pihaknya tidak dapat mengulas secara terperinci mengenai kes tersebut.
“Saya tidak mempunyai maklumat lengkap dan terdapat perkara yang tidak boleh didedahkan secara terbuka. Dalam hal ini, saya perlu menjaga semua pihak yang sedang diambil tindakan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.