Foto sekadar hiasan
Tabiat suka mengunyah ais mungkin kelihatan biasa atau sekadar penyejuk tekak, namun hakikatnya ia boleh menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan yang lebih membimbangkan seperti anemia kekurangan zat besi.
Menurut Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), keadaan itu dikenali sebagai pagophagia iaitu sejenis pica, yang merujuk kepada keinginan luar biasa terhadap bahan bukan makanan.
“Ramai individu yang mengalami kekurangan zat besi atau anemia menunjukkan keinginan luar biasa untuk mengunyah ais. Tabiat ini lazimnya akan hilang apabila tahap zat besi dipulihkan,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa dalam kalangan pesakit yang mengalami pica, hampir 81 peratus turut menghidap anemia akibat kekurangan zat besi.
Tanda-tanda Awal Yang Tidak Harus Diabaikan
Antara simptom lain yang biasanya mengiringi anemia termasuk keletihan melampau, wajah pucat, sakit kepala berulang, dan sesak nafas. Jika seseorang mendapati diri mereka terlalu kerap mengunyah ais secara kompulsif, ia wajar dijadikan alasan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Ais batu itu sendiri tidak berbahaya, tetapi ia boleh menjadi isyarat tubuh sedang mengalami kekurangan zat penting. Pemeriksaan darah untuk melihat tahap hemoglobin dan ferritin amat disarankan,” ujar Profesor Dr Barakatun lagi.
Gigi Rosak, Rahang Tertekan
Selain menjadi petanda kepada masalah dalaman tubuh, tabiat ini juga memberi kesan langsung terhadap kesihatan mulut. Pensyarah Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor menjelaskan bahawa tekanan mengunyah ais secara berulang boleh merosakkan permukaan gigi.
“Ia boleh menyebabkan hakisan enamel, gigi menjadi sensitif, malah retak dan patah. Tekanan ini juga memberi kesan kepada sendi rahang seperti rasa sakit dan bunyi ‘klik’ semasa membuka mulut,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan supaya mereka yang memiliki tabiat ini segera mendapatkan rawatan pergigian bagi mengelakkan kerosakan jangka panjang yang lebih serius.
Pengalaman Peribadi: “Saya Stres Kalau Tak Kunyah Ais”
Seorang wanita, Nadhirah berusia 26 tahun, mengakui bahawa mengunyah ais adalah kebiasaan hariannya sejak sekian lama. Namun setelah menyedari risikonya, beliau mula mengambil langkah untuk berhenti.
“Saya memang suka sangat ais kosong, terutama selepas makan. Kalau sehari tak dapat kunyah, saya rasa tak sedap hati. Tapi lepas tahu ia boleh rosakkan gigi dan mungkin sebab saya kekurangan zat besi, saya mula kurangkan,” katanya.
Tindakan Pencegahan dan Rawatan
Langkah terbaik untuk mengatasi pagophagia ialah dengan mengenal pasti punca sebenar melalui pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh. Individu yang kekurangan zat besi boleh dibantu melalui pengambilan suplemen zat besi dan perubahan diet yang lebih seimbang.
Bagi kesan terhadap gigi dan rahang pula, rawatan awal di klinik pergigian boleh mencegah kerosakan kekal. Selain itu, menyedari tabiat ini sebagai satu bentuk ketagihan juga membantu dalam membina kesedaran diri untuk berubah.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.